Arahan 9: Orang Yang Beriman Mestilah Berinfaq Daripada Sumber Yang Baik Yang Dianugerahi Allah

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 5.4.10

Arahan  9: Surah Al Baqarah 267



Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
Al Baqarah 267 


ASPEK PENGHAYATAN

  1. Orang yang beriman mestilah sentiasa berusaha untuk mendapatkan nafkah daripada segala usaha yang dihalalkan oleh Islam. Menganggur dan membuang masa bukan jati diri orang yang beriman.
  2. Orang beriman itu hendaklah memilih yang baik-baik dalam melaksanakan infaq. Bukan berinfaq daripada harta yang sudah tidak dikehendaki.
  3. Manusia hendaklah memehami bahawa Allah itu Maha Kaya lagi Terpuji. Sekiranya manusia yang kaya menginfaqkan harta yang tidak dimahunya, sesungguhnya perbuatan itu tidak mengurang kekayaan Allah. Atau ada manusia yang menginfaqkan harta kekayaan yang sangat dikasihinya maka ia juga tidak menembah kekayaan Allah.Kekayaan Allah adalah berdiri sendiri. Manusialah yang berhajat kepada Allah.



TAFSIRAN

1.  Dalam ayat ini ia adalah kesinambungan daripada ayat dalam arahan orang yang beriman yang ke 8. Dalam ayat sebelum ini Allah mencirikan jenis amalan manusia yang diterima disisi Allah iaitu keikhlasan. dalam ayat ini pula Allah swt mencirikan jenis harta yang mahu diinfaqkan samada yang wajib (zakat) mahupun dalam apa sahaja infaq yang hendak diberikan.

2.  Hamka menyatakan dalam tafsirnya bahawa segala macam usaha yang halal termasuk juga bercucuk tanam, bertani, bersawah dan berladang, maka hasil yang baik daripada usaha tersebut hendaklah dibelanjakan atau dinafkahkan. Jelas bahawa manusia itu mestilah terus berusaha untuk mencari rezeki. Orang beriman mestilah sentiasa berusaha untuk mencari nafkah yang halal. Ini telah ditunjukkan oleh seluruh para sahabat Nabi Muhammad saw.

3.  Gergasi korporat zaman Nabi Muhammad saw ialah Saidina Abdul Rahman bin Auf. Beliau adalah pembiaya utama kepada keseluruhan ppeperangan yang dihadapi Nabi Muhammad saw. Sahabat Nabi yang miskin seperti Saidina Bilal juga terus berusaha untuk memperoleh rezeki daripada sumber yang halal bukan menjadi peminta sedekah. Beliau keluar daripada Masjid Nabi dan mencari pekerjaan. Setelah bekerja dan mendapat keperluan sehariannya maka dia pun berhenti berusaha. Kemudian terus berada dalam Masjid Nabi untuk beriktikaf dan beribadah kepada Allah.

4.  Ada juga sahabat Nabi yang dengan berkat doa Nabi Muhammad saw menjadi kaya raya. Namun setelah memperolehi kekayaan, apabila datang kewajiban berinfaq (zakat) beliau menangguhkan arahan Nabi. Bukan tidak mahu berinfaq (zakat). Beliau yang dimaksudkan adalah Sa'labah. Ini adalah suatu contoh yang mestilah orang yang beriman menghindarinya. Infaqnya (zakat) telah ditolak oleh Rasulullah saw dan para sahabat.

5.  Budaya berinfaq akan mendapat tentangan daripada pelbagai sudut termasuk halangan daripada syaitan. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah bahawa syaitan akan menakutkan orang yang beriman dengan kemiskinan dan kepapaan. Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 268



Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. 
2:268


KESIMPULAN
  1. Orang yang beriman mestilah berinfaq yang terbaik.
  2. Berinfaq dan berkorban dengan perkara yang sudah tidak mahu kepada jalan Allah pasti ditolak Allah. Inilah kisah yang panjang lebar ketika dua anak Nabi Adam as (Habil dan Qabil) diuji oleh Allah untuk berkorban. Habil berkorban dengan seekor kibas yang gemuk manakala Qabil berkorban hampas gandum. Korban Habil diterima Allah manakala korban Qabil ditolak Allah.
  3. Demikian juga pengorbanan golongan Ansar (Madinah) terhadap saudara mereka golongan Muhajirin (Mekah). Pengorbanan mereka pada saat sukar ini dirakam oleh Allah di dalam Al Quran. Kualiti pengorbanan mereka yang berkorban apa sahaja demi saudara mereka yang baru tiba sangat disukai Rasulullah saw. Ada berkorban tanah, pohon tamar, ladang tamar, rumah, kedai dan sebagainya.
  4. Marilah kita bertanya selaku orang yang beriman, semakin berkualitikah pengorbanan yang kita laksanakan dalam jihad menegakkan agama Allah? Atau ia semakin merosot kebelakangan dengan mengemukakan pelbagai alasan untuk menjadi pelarian dalam jihad yang besar ini? Marilah kita mencontohi sahabat Nabi Muhammad saw bernama Ayub Al Ansari. Pada ketika mahu mengikuti sebuah peperangan setelah kewafatan Nabi Muhammad saw, umurnya adalah 72 tahun. Sahabat Nabi Muhammad saw memberi nasihat supaya beliau duduk sahaja di Madinah. Namun beliau menyatakan kepada sahabat itu bahawa masih terngiang di telinganya Nabi Muhammad membaca surah At Tawbah ayat 41.


Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. 
At Tawbah 41


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009