Arahan 10: Orang Yang Beriman Mestilah Meninggalkan Amalan Riba Secara Total

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 5.4.10

Arahan 10: Surah Al Baqarah 278




Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. 
Al Baqarah 278 


ASPEK PENGHAYATAN

  1. Orang yang beriman mestilah meninggalkan kegiatan riba.
  2. Riba adalah lambang penindasan. Ekonomi yang mengamalkan sistem riba adalah ekonomi yang menindas. Sistem riba atau yang disebut sistem konvensional memerah keringat mereka yang miskin untuk mengkayakan yang kaya.
  3. Orang yang beriman mestilah membebaskan dirinya daripada sebarang sistem yang menindas orang lain atau membuat penginayaan kepada orang lain. Orang yang beriman semestinya membawa rahmat bersama dengan sistem Islam yang dinyatakan samada di dalam Al Quran atau Hadis.
  4. Mereka yang beriman tetapi mahu mengekalkan sistem yang menindas ini di dalam kehidupan maka sebenarnya mereka itu diperangi oleh Allah dan Rasul.



TAFSIRAN

1.  Mendahului ayat ini adalah ayat seruan mrngenai penghapusan riba oleh Allah dan Allah sendiri mengangkat amalan sedekah. Mereka yang mampu menghapuskan amalan riba dan menyukai amalan bersedekah menuju keredhan Allah adalah yang berciri ;
  • Orang yang beriman kepada Allah dan
  • Orang yang beramal soleh dan
  • Orang yang mendirikan solat dan
  • Orang yang menunaikan zakat

Inilah yang difirmankan Allah dalam surah Al Baqarah ayat 276-277



Allah hapuskan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.  
2:276



Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. 
2:277  


2.  Hanya mereka yang beriman sahaja yang mahu menurut perintah Allah dan mahu apa yang ada disisi Allah iaitu nukmat syurga. Justeru tiada ulma yang menetapkan bahawa boleh melaksanakan sistem ekonomi yang kovensional di peringkat bernegara. Apalagi dalam konteks ekonomi persendirian. Justeru datang sistem ekonomi Islam yang lebih terjamin. 

3.  Menurut Al Maraghi ayat seruan kepada Yang Beriman dalam perintah yang ke 10 ini ialah suatu sindiran terhadap orang yang memakan riba. Ertinya sekiranya mereka itu benar termasuk orang yang beriman dan beramal soleh maka tentu mereka akan berhenti daripada memakan riba. Maraghi mengulas lagi bahawa ayat ini membawa pertunjuk bahawa sesiapa sahaja yang tidak meninggalkan riba setelah adanya  larangan Allah dan ancamanNya, maka orang tersebut dikatakan tidak beriman dan ia tetap di neraka.  

4.  Amat jelas daripada penjelasan ini program ekonomi riba sama sekali hendaklah ditinggalkan. Dalam hubungan ini pinjaman secara Islam adalah menjadi tuntutan dalam kehidupan. Adalah sangat berlawanan orang yang mengaku beriman tetapi memakan riba. Sama juga seperti orang yang mengaku beriman tetapi memakai seluar pendek dan tidak bertudung. Begitu juga orang yang mengaku beriman tetapi membenci hukum Allah.

5.  Hamka dalam tafsirnya Al Azhar menyatakan bahawa ayat di atas adalah teguran langsung daripada Allah terhadap kegiatan ekonomi bapa saudara Nabi Muhammad saw, Abbas bin Abdul Mutalib. Sebelum Islam beliau telah memberi pinjaman kepada seorang daripada Bani Thaqif di Taif. Apabila beliau masuk Islam maka kegiatan jahiliyah itu sepatutnyan ditinggalkan. Yaitu sisa-sisa riba jahiliyah itu ditinggalkan sama sekali.

6.  Sebagai orang yang beriman, marilah kita bertanya kepada diri apakah amalan jahiliyah masih membelenggu dalam kehidupan kita? Memang ayat ini secara khusus adalah suruhan meninggalkan aktiviti riba yang bersifat jahiliyah, namun adalah tidak salah untuk bertanya apakah  ada lagi amalan jahiliyah diamalkan dalam kehidupan seperti;

  • menyokong parti yang menentang hukum Allah?
  • menentang parti Islam?
  • menyokong kemungkaran , kebatilan
  • mengamalkan perbomohan
  • mengamalkan politik sekularisme yang memisahkan agama dengan kehidupan
  • mengamalkan secara terpisah kegiatan ibadah dengan kehidupan, selepas solat kembali memakai seluar pendek dan tidak bertudung
  • membuat amal perbuatan yang lagho dan membazir masa
  • hasad, dengki, kianat, sifat-sifat kemunafikan

KESIMPULAN

  1. Amalan jahiliyah segera ditinggalkan setelah beriman kepada Allah.
  2. Amalan Islami tidak boleh bercampur dengan khurafat. Kaedah yang tepat dalam melaksanakan amalan ialah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Hanya dengan mengikut sunnah kejayaan akan diperolehi.
  3. Riba adalah amalan jahiliyah yang mesti ditinggalkan. melibatkan diri dengan sistem ini memerlukan taubat yang bersungguh-sungguh. Meninggalkan amalan ini akan mendekati kita dengan Allah dan Rasul, memberkati kehidupan dan tidak menzalimi orang lain.


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009