Arahan 15: Orang Yang Beriman Mestilah Menghindari Daripada Memakan Riba

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 20.11.10

Arahan 15: Surah Al Imran 130



Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.



Asbabun Nuzul Ayat 

Imam Jalaluddin As-Sayuthi menjelaskan bahawa peristiwa turunnya ayat ini dalam suatu riwayat bahawa terdapat orang yang berjual beli dengan berhutang.  Apabila tiba waktu pembayaran dan mereka tidak melakukan pembayaran maka bertambahlah bunganya, disamping waktu pembayaran ditambahkan lagi.  Maka turun ayat ini sebagai larangan di atas perbuatan seperti itu.  (Riwayat oleh Al-Faryabi dari Mujahid)


Pandangan Umum Terhadap Ayat  

Dalam ayat ini terdapat ungkapan tegas daripada Allah dengan kalimah Laa  (لآ  )
Selain daripada itu ada juga kalimah taqwa.  Hanya mereka yang bertaqwa sahaja yang mampu mengikuti, menghayati dan melaksanakan perintah Allah.  Ganjaran yang hendak diberikan Allah kepada mereka yang bertaqwa ialah kejayaan di dunia dan akhirat. 

Riba adalah penindasan manusia keatas manusia.  Mereka yang bermodal akan terus menindas golongan yang miskin.  Inilah sistem ekonomi yang dibina oleh manusia. Mengaut keuntungan tanpa mengira kaya atau miskin.  Berbanding dengan sistem ekonomi Islam yang membawa kesejahteraan.  Dalam Islam riba adalah haram.  Ini bermakna asas yang paling dasar ialah Islam menentang penindasan dan kezaliman manusia keatas manusia.  Inilah perkataan masyhur Panglima tentera Islam Rabi’ bin Amir ketika menjawab pertanyaan Panglima tentera Rom kenapa mereka datang ke Rom.  Jawapan Rabi’ bin Amir ialah “kehadiran kami adalah untuk membebaskan penindasan manusia keatas manusia kepada keluasan rahmat Islam” 

Yang mampu mengikuti arahan Allah ini tidak lain hanya golongan yang bertaqwa sahaja.   Hanya ikatan kasih dan sayang dengan Allah sahaja segala pengorbanan akan dapat dilakukan.  Manusia yang tiada taqwa akan menentang arahan Allah ini kerana dipandangnya kerugian yang terbentang dihadapannya.  Yang berjaya mengikuti arahan ini,  Allah akan memberi ganjaran kejayaan di dunia hingga akhirat.


Tafsiran

Perbincangan 1


 
Dalam potongan ayat ini Allah Taala sekali lagi melakukan bimbingan terhadap orang yang beriman.  Seruan yang jelas ini adalah supaya orang yang beriman itu tidak terpesong daripada perjuangan dalam menegakkan hukum dan Agama Allah.  Orang yang beriman itu adalah bakal penghuni syurga maka sudah pasti segala arahan Allah akan terus dipatuhi sehingga melayakkannya untuk memasuki syurga Allah.

Sekiranya kita membaca Al-Qur’an maka tiada ayat yang membuat seruan “Wahai orang Islam”.  Justeru yang selayaknya memasuki syurga Allah hanyalah yang beriman.  Orang yang beriman maka sudah pasti dia adalah Islam.  Dia melaksanakan seluruh rukun Islam (bersyahadah, bersolat, berpuasa, berzakat dan berhaji) dan beriman dengan seluruh rukun Iman (percaya kepada Allah, percaya kepada Malaikat, percaya kepada Kitab, percaya kepada Rasul, percaya kepada hari akhirat, dan percaya kepada Qada’ dan Qadar Allah)

Orang yang Islam sahaja belum tentu menjadi orang yang beriman.  Dia mungkin pelaksana rukun Islam yang baik.  Dia bersyahadah, bersolat, berpuasa, berzakat dan berhaji.  Tetapi dalam masa yang sama dia tidak beriman dengan rukun Iman.  Dia tidak percaya terhadap hukum Qisas yang diwajibkan Allah.  Hukum Qisas adalah sebahagian daripada kewajipan dalam Kitab Allah.  Penolakan ini menyebabkan orang Islam tersebut menjadi kafir.


Perbincangan 2
 
Potongan ayat ini menunjukkan bahawa ianya adalah lam nafi.  Lam jenis seperti ini menunjukkan bahawa perbuatan yang dinyatakan Allah adalah tidak dibenarkan sama sekali melaksanakannya. Al-Maraghi menyatakan terjemahan makna perkataan ini ialah sekalipun jangan dilakukan. 

Sama juga dengan kalimah syahadah

             لآاله الآ الله


adalah dimulai dengan kalimah لآ yang juga membawa makna penafian kepada semua illah dan sembahan.  Sembahan manusia hanya akan bermakna apabila menyembah Allah Yang Maha Esa.  Adapun sembahan yang selain daripada Allah adalah ditolak.

Kalimah lam adalah kalimah tegahan yang tegas daripada Allah kepada mereka yang beriman.  Dalam konteks ayat ini Allah Taala dengan tegas melarang pengambilan riba.  Pengharaman ini jelas adalah rahmat daripada Allah untukkehidupan manusia.  Islam membawa rahmat dan memerdekakan manusia daripada sebarang perhambaan manusia kepada manusia.


Perbincangan 3


Dalam potongan ayat ini Allah Taala melarang orang yang beriman memakan riba.  Tidak sesuai dengan amalan-amalan keimanan yang didalamnya bercampur dengan perbuatan menzalimi manusia.  Riba adalah bentuk perniagaan mudah dan sentiasa memperolehi keuntungan.  Perniagaan bentuk riba tidak akan mengalami kerugian.  Inilah penindasan.  Sedangkan sifat suatu perniagaan adalah ia terdedah kepada 2 keadaan sama ada mendapat keuntungan atau kerugian.

Al-Maraghi menjelaskan makna 2 kali lipat.  Ketika berhutang maka sekali keuntungan telah diambil.  Apabila hutang tersebut gagal dibayar maka ditambahkan bunga kepada hutang tersebut.  Inilah yang dikatakan 2 kali lipat.  Ibnu Kathir juga meriwayatkan perkara yang sama dengan menyatakan bahawa apabila hutang tersebut gagal dibayar  maka ditambah bunga kepada hutang tersebut dan ia akan berlipat kali ganda. Inilah penindasan.  Orang berhutang dengan sistem ini akan terus menjadi hamba hutang sampai mati.  Islam datang membawa rahmat dengan sistem yang sangat tegas.  Islam mengiktiraf hutang tetapi pengurusan pembayaran hutang mestilah dilunaskan tanpa riba.

Sistem ekonomi Islam adalah alternatif terhadap sistem ekonomi yang menindas dan zalim.  Pada kebiasaannya terdapat 2 keadaan iaitu pinjaman untuk membeli barang dan  saham.  Orang yang beriman mestilah memilih sistem yang halal iaitu sistem perbankan Islam.


Pembelian barangan – kereta, rumah, tanah  dan lain-lain

Zaman ekonomi moden ini berlaku proses perniagaan yang melibatkan wang yang besar.  Maka institusi kewangan membeli barangan yang hendak dibeli oleh pelangan.  Kemudian menjualnya dengan kadar harga yang berpatutan.  Maka berlakulah jual beli dan pinjaman antara pelanggan dengan institusi kewangan.  Institusi perbankan Islam akan mengemukakan jumlah bayaran yang perlu dibuat secara bulanan dan tetapsehingga tamat tempoh pembayaran dengan proses akad yang jelas.  Tiada perubahan pembayaran bulanan walau apa yang terjadi dalam konteks dunia ekonomi. 

Dalam sistem ekonomi konvensional dan  kapitalis bayaran pinjaman balik bergantung dengan keadaan pasaran wang dunia terutama dolar America.  Ketika dolar Amerika stabil bayaran tetap dengan kadar bunga yang ditetapkan.  Namun apabila dolar America jatuh seperti keadaan perang maka bayaran bulanan bertambah disebabkan kadar bunga telah bertambah. Pernah terjadi apabila pinjaman secara konvensional dibuat dan bayaran pinjaman sudah hampir tamat maka berlaku perang yang melibatkan Amerika, maka dolar America merudum jatuh.  Kesan terhadap peminjam, pinjamannya telah dibungakan dan ia terpaksa membayar lagi walaupun bayaran bulanan tersebut telah hampir tamat.


Pembelian saham  -  saham halal

Islam meletakkan garis panduan yang sangat asas iaitu sebarang bentuk perniagaan mestilah memiliki darjah halal yang tinggi.  Tiada terlibat unsur syubhah apalagi yang diharamkan Allah.  Termasuk perniagaan saham.  Saham yang hendak dibeli mestilah saham yang tempat pelaburannya adalah halal.  Sekiranya tempat pelaburannya sudah syubhah maka saham sudah jadi haram. Contoh

Saham syarikat A – dilabur untuk membuat ladang kelapa sawit  (halal)
Saham syarikat B – dilabur untuk membuat  kereta (halal)
        dan perbankan riba (syubhah).  Status saham adalah haram
Saham syarikat C -  dilabur untuk membuat ladang (halal) + perbankan riba (syubhah) +
         industri judi (haram).  Status saham adalah haram

Bagaimanakah dengan saham anda? ASB?, ASN? Bagaimana dengan wang simpanan anda dalam bank-bank riba?  Bagaimanakah pengurusan wang keuntungan simpanan anda?  Kenapa masih lagi menyimpan di bank-bank riba?  Kenapa tidak terus memilih perbankan Islam atau kaunter perbankan Islam?

Bagi mereka yang suka bermain saham pula bukan setakat bentuk pelaburan yang hendak dipastikan kehalalannya, kaedah pertukaran dan pembelian saham juga mestilah bebas daripada unsur gharar (perjudian).  Ekonomi Islam mestilah bebas daripada unsur ini.  Waktu pagi saham dibeli.  Oleh kerana sebelah petang saham tersebut jatuh maka berlaku penjualan saham.  Tindakan ini adalah untuk menyelamatkan pelaburan.  Dalam keadaan lain pula waktu awal petang saham dibeli.  Jam 5 ptg saham dijual kerana tiba-tiba saham yang dibeli tadi mengalami kenaikan harga.  Inilah unsur yang tidak pasti dalamurusan penjualan dan pembelian saham. 

Papan saham yang paling Islami di dunia hari ini  ialah papan saham Sudan.  Pelaburan hanya boleh dikeluarkan dalam tempoh 6 bulan.  Dihujung 6 bulan akaun pelaburan akan dihitung sama memperolehi keuntungan atau kerugian.  Demikianlah ekonomi orang yang bertaqwa.  Pelaburannya bukan hanya sekadar mengejar keuntungan.  Namun yang lebih utama ialah hubungannya dengan Allah yang tidak putus akibat daripada kegiatan ekonominya.
Perbincangan 4


Allah Taala mengikat orang yang beriman itu dengan taqwa.  Taqwa adalah ikatan kasih dan sayang dengan Allah.  Segala kegiatan manusia mestilah berteraskan taqwa kepada Allah.  Pudar kehidupan akhirat apabila terputus dari aspek ketaqwaan.  Demikianlah kegiatan ekonomi penting iaitu mencari nafkah kehidupan yang mesti bersandar kepada ketaqwaan.  Untung yang banyak namun dibenci Allah, tiada apa-apa di sisi Allah.  Untung yang sedikit tetapi halal dan mengejar keredhaan Allah serta memenuhi piawaian taqwa kepada Allah maka akan terus ditambahi dan diluaskan rezeki oleh Allah. 

Allah Taala berfirman dalam surah Thalaq ayat 2-3


2. dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),


 
3.  Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. 


Kegiatan ekonomi umat bagi yang beriman diikat dengan taqwa.  Apalagi yang lain daripadanya.  Kehidupan berpolitik dan pemerintahan juga mestilah diikat dengan proses taqwa.  Tidak boleh dinyatakan bahawa orang yang beriman itu bebas berpolitik. Boleh menyokong parti mana sekalipun.  Orang yang beriman mestilah menyokong parti yang hendak menegakkan hukum Allah (rujuk ayat surah al-Baqarah 178)

Tercatat dalam sejarah bahawa PAS sudah membuktikan komitmennya untuk menegakkan hukum Allah.  Draf Undang-Undang Hudud Kelantan telah dibentang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan tahun 1990.  Begitu juga dengan Terengganu, draf tersebut telah dibentang pada tahun 2000.  Namun ditolak oleh kerajaan Pusat.

Orang yang beriman itu terikat dalam ketundukannya kepada Allah.  Dalam kaedah fiqh terdapat kaedah antara dua ketakutan.  Kaedah ini menerangkan bahawa terdapat dua ketakutan iaitu

Ketakutan 1 -  kekal dalam keadaan menentang Allah dan tidak mahu kepada hukum Allah

Ketakutan 2 – berusaha untuk menegakkan hukum Allah dengan memberi undi kepada parti yang mahu berjuang menegakkan hukum Allah

Dengan memberi undi kepada parti yang mahu menegakkan hukum Allah  maka orang beriman itu telah melakukan suatu usaha untuk menegakkan hukum Allah.   Terbebaslah ia daripada satu lagi ketakutan iaitu berada dalam zon menentang Allah dan menentang hukum Allah.  Mengundi parti  yang tiada iltizam dengan hukum Allah adalah haram.  Maka pertimbangan orang yang bertaqwa itu ialah pertimbangan Al-Qur’an dan Hadis.

Begitu juga orang beriman dan bertaqwa itu diikat lagi oleh Allah dengan memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.  Kejayaan dunia bagi orang yang bertaqwa ialah berjaya mengurus kehidupan seperti yang dikehendaki Allah.  Manakala kejayaan akhirat pula ialah tidak lain mendapat nikmat yang kekal abadi dari sisi Allah.  Bermula dari alam kubur dengan kuburnya dijadikan Allah sebagai taman-taman syurgaNya sehinggalah ke tempat yang paling nikmat iaitu syurga Allah.

Inilah ikatan yang hak.  Allah Taala menguji orang yang beriman itu dengan pelbagai ujian kehidupan.  Namun yang dimahunya ialah kejayaan di sisi Allah.  Kehidupan orang yang beriman itu tidak pernah terpisah oleh keimanan kepada Allah.  Inilah disebut Allah dalam surah Quraisy 1-4.




1.  Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah)  2.  (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam),  3.  Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,  4.  Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. 


Daripada ayat di atas Allah Taala menyeru seluruh kehidupan ini mestilah diikat dengan kepatuhan dan ketundukan terhadap Allah.  Istilah Tuhan Penguasa Kaabah  yang memberi makan dan keamanan hidup di dunia juga akan turut memberi keamanan dengan kejayaan yang hakiki untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.
 


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2010