Arahan 8: Orang Beriman Mestilah Jangan Mengungkit Sedekah Dan Menyakiti Orang

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 5.4.10

Arahan  8: Surah Al Baqarah 264





Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. 
Al Baqarah 264 

ASPEK PENGHAYATAN
  1. Orang beriman dilarang menyebut-nyebut akan pemberian sedekahnya kerana perbuatan itu akan menyebabkan terhapus segala pahala yang dikurniakan oleh Allah.
  2. Orang yang beriman juga tidak dibenarkan untuk menyakiti perasaan mereka yang menerima sebarang bantuan daripadanya kerana perbuatan itu juga akan menyebabkan terbatalnya pahala yang dikurniakan oleh Allah.
  3. Orang yang beriman mestilah menghindari riak dalam amalannya dan sentiasa  memastikan setiap amalan mestilah ikhlas kepada Allah.
  4. Tamsilan Allah terhadap mereka yang riak adalah seperti batu licin yang tiada sebarang kesan tanah. Sesungguhnya perbuatan riak untuk mendapat keredhaan manusia dan bukan Allah tidak mendatangkan kesan disisi Allah. Di akhirat mereka adalah termasuk dalam golongan orang yang mendapat kerugian.
  5. Mereka yang menentang Allah adalah golongan yang tidak mendapat petunjuk. Kesesatan mereka adalah kesesatan yang jauh.



TAFSIRAN

1.  Seruan dalam ayat ini oleh Allah Taala menegaskan bahawa orang yang beriman mestilah memelihara amalan sedekah yang mereka lakukan. Keikhlasan niat dalam melaksanakan amalan sedekah itu akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Taala. Dalam ayat yang terdahulu daripada ayat ini iaitu surah Al Baqarah ayat 261-262


 
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. 
Al Baqarah 261




Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. 
Al Baqarah 262



2.  Dalam ayat ini Allah menegaskan tentang amalan orang yang beriman mestilah amalan yang sentiasa ikhlas hanya untuk mendapat keredhaan Allah.Mecari keredhaan manusia atau beramal supaya amalan dilihat manusia maka ia adalah riak.. Riak adalan termasuk dalam syirik kepada Allah. Inilah kegerunan Nabi Muhammad saw dengan sabdanya yang bermaksud

Aku takut umatku terlibat dengan syirik yang kecil. Sahabat bertanya Apa dia syirik yang kecil itu wahai Rasulullah?  Nabi saw bersabda  "Ar Riya"

3.  Amalan mereka yang riak diberi perumpamaan oleh Allah seperti satu batu licin yang tidak meninggalkan apa-apa kesan. Al Maraghi menyatakan bahawa amalan mereka yang munafik adalah seperti debu pada batu yang licin, kemudian tersiram oleh air hujan yang lebat. Maka debu itupun lenyap daripada permukaan. Yang tertinggal hanyalah batu yang bersih licin, tidak ada satu pun debu yang membekas.
Demikianlah tamsilan amalan yang ditolak oleh Allah. Perumpamaan batu oleh Allah, walaupun ada kesan tanah namun apabila datang hujan yang lebat maka baru itu kembali licin. Ini sangat terkesan terhadap persiapan kehidupan akhirat. Orang yang beramal secara riak tidak mendapat apa-apa pahala disisi Allah. Amalan orang ini banyak namun tiada keikhlasan. Sehingga akhirnya orang beramal seperti ini menerima kitab amalan daripada sebelah kiri.

4.  Penutup ayat ini Allah Taala memberi ancaman bahawa orang kafir itu tidak akan diberi hidayah oleh Allah. Al Maraghi menyatakan bahawa perbuatan riak, suka menyebut-nyebut amal kebaikan dan suka menyakiti adalah perbuatan orang kafir. Hakikat sifat-sifat mazmumah (buruk dan keji) itu mestilah dijauhi oleh orang yang beriman. Orang yang beriman mestilah segera kembali kepada penghayatan nilai-nilai jati dirinya iaitu ikhlas dalam beramal. ia adalah paksi mencapai kebahagiaan kehidupan akhirat.


KESIMPULAN


  1. Beramal apa sahaja mestilah dengan niat yang ikhlas kepada Allah.
  2. Jangan meletakkan ada saingan dengan Allah. Beamallah kerana Allah. Hanya Allah yang disembah tanpa saingan. Yang lain daripada Allah adalah makhluk yang dicipta Allah.
  3. Menyebut-nyebut pemberian sama ada bentuk pertolongan, bantuan kemanusiaan, infaq dan lain-lain akan menyebabkan pahala berkurangan. Orang yang beriman hendaklah memberi pertolongan tanpa menginginkan pembalasan. Melakukan khidmat adalah kerana Allah.


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009