Arahan 7: Orang Yang Beriman Mestilah Berinfaq Sebelum Datangnya Hari Kiamat

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 5.4.10

Arahan 7: Surah Al Baqarah 254



Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim. 
Al Baqarah 254



ASPEK PENGHAYATAN

1.  Budaya berinfaq mestilah menjadi jati diri mereka yang beriman. Ini jelas arahan-arahan Allah di dalam Al Quran menggunakkan perkataan infa iaitu

  • anfaqa  -      2 ayat
  • anfaqta  -     1 ayat
  • anfaqtum  -  4 ayat
  • anfaqu  -    11 ayat
  • anfiqu  -       9 ayat
  • anfaqhu  -    1 ayat


Begitu juga dalam sunnah Nabi Muhammad saw. Manfaat berinfaq adalah sangat banyak sebagai persiapan menuju kehidupan yang kekal abadi iaitu kehidupan di alam akhirat.

2.  Bakhil, kedekut dan kikir adalah sifat syaitan.

3. Berinfaq di jalan menegakkan Agama Allah adalah darjad infaq yang paling tinggi berbanding dengan yang lain-lain.

4.  Berrinfaq akan membuahkan sifat pemurah yang menghampirkan diri kepada Allah. Sifat pemurah juga akan membuka jalan-jalan ke pintu syurga dan mendindingi manusia daripada azab neraka.



TAFSIRAN

1.  Berinfaq adalah merupakan budaya dalam kehidupan orang yang beriman. Bagi mereka yang beriman rezeki yang dikurniakan oleh Allah mestilah diinfaqkan. Infaq adalah wajib bagi mereka yang berzakat. Manakala dalam keadaan lain berinfaq adalah sunnah yang besar dalam kehidupan orang yang beriman.

2.  Berinfaq adalah dengan harta yang sangat disayangi. Bukan yang sudah tidak dimahukan lagi.Memang ini adalah sukar tetapi  itulah tarbiyah daripada Allah. Pahala Infaq adalah amat besar disisi Allah sehingga diselamatkan Allah daripada azab neraka. Dalam surah Al Imran ayat 92 ,




Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. 
Al Imran 92 

Arahan berinfaq juga mestilah dilakukan samada dalam keadaan senang atau susah. Diterjemahkan jati diri ini dengan sesungguhnya kerana Allah menyediakan bagi orang itu syurga seluas langit dan bumi. Firman Allah dalam surah Al Imran ayat 133-134



Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;
Al Imran 133


Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;  
Al Imran 134



3.  Dalam berinfaq juga wujud awlawiyat (keutamaan). Infaq dalam menegakkan agama dan hukum Allah adalah infaq utama. Ayat-ayat Allah tetang jihad harta cukup banyak. Antaranya surah At Tawbah ayat 111


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga,  


Antara keutamaan dalam berinfaq

a)   Menegakkan hukum Allah. Berinfaq kepada parti yang hendak memperjuangkan hukum Allah. Infaq ini adalah sangat tinggi nilai ganjarannya di sisi Allah.

b)  Majlis pengajian ilmu dan persiapan mereka yang menuntut ilmu. Menuntut ilmu adalah wajib disisi Islam. Maka membiayai majlis pengajian ilmu berpahala wajib disisi Allah. Membiayai Tuan Guru/Ustaz yang mengajar mahupun majlis makan selepas majlis pengajian adalah sangat digalakkan.

c)  Memberi bantuan terhadap mereka yang tertindas di mana sahaja umat Islam berada seperti Palestin, Iraq, Afghanistan, Naratiwat/Pattani dan mahupun yang berada dalam negara sehingga tiada lagi cengkaman kemiskinan.

d)  Berinfaq untuk kepentingan umat Islam dan aspek penggunaan umum. Ini juga ditekankan oleh Rasulullah saw seperti
  • Pembinaan Masjid
  • Pembinaan Sekolah tempat pengajian
  • Pembelian mushaf Al Quran / Kitab Hadis
  • Pembinaan kolah, telaga, taliair untuk kegunaan manusia
  • Pembinaan Jalanraya untuk orang ramai
  • Pembiayaan penerbitan majalah / buku dan lain-lain yang meningkatkan kefahaman umat terhadap Islam
Berdasarkan awlawiyat ini maka ulama tersohor dunia Dr Yusuf Al Qardawi menyatakan fatwanya ketika ditanya antara kepentingan menunaikan umrah dan berinfaq. Maka dijawab oleh beliau bahawa menunaikan haji / umrah kali kedua adalah sunat sedangkan berinfaq untuk perjuangan adalah wajib dan membantu umat Islam yang tertindas adalah wajib. Begitulah seterusnya. Maka umat Islam mestilah sedia untuk kembali meletakkan awlawiyat ini supaya yang dikerjakan adalah mengikut keutamaan yang telah ditentukan oleh Islam.
Dalam konteks yang sama juga berinfaq dalam masjid pada hari Jumaat, hendaklah diperhalusi. Antara masjid yang wujud pengajian dengan masjid yang tiada pengajian maka awlawiyat infaq adalah kepada masjid yang ada pengajian. Masjid yang tiada pengajian tidak wajib diberi infaq. Antara masjid yang ada 40 pengajian sebulan dengan masjid yang ada hanya 4 pengajian sebulan maka infaq kepada masjid  yang ada 40 pengajian adalah wajib.

KESIMPULAN

  1. Jati diri orang yang beriman adalah sentiasa menginfaqkan harta di jalan Allah.
  2. Tidak bakhil, kedekut atau boros. Sifat tersebut adalah sifat syaitan.
  3. Berinfaq pada ketika sihat adalah menjadi utama berbanding pada ketika maut dah tiba. Pada ketika sihat terlalu banyak ujian yang dihadapi oleh penginfaq. Ujian-ujian yang berupa godaan dunia, hasutan daripada iblis yang memberi tanggapan kemiskinan dan lain-lain. Maka sekiranya ujian-ujian itu dapat dilepasi dengan terus berinfaq maka infaq ketika itu adalah mendapat pahala yang besar. Berbanding pada ketika nazak, tiada lagi ujian-ujian tersebut. Berinfaq pada ketika tiada ujian maka pahalanya adalah lebih rendah.