Arahan 6: Orang Beriman Mestilah Beramal Dengan Islam Secara Kaaffah (Menyeluruh)

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 29.3.10

Arahan  6: Surah Al Baqarah 208



Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
 Al Baqarah 208


ASPEK PENGHAYATAN

  1. Orang yang beriman diseru oleh Allah dengan seruan untuk megamalkan Islam secara kaafah yang menyeluruh. Bukan memilih ajaran Islam mengikut kemahuan hawa nafsu atau mana satu yang dikehendaki.
  2. Pemilihan amal-amal Islami mestilah berdasarkan kepada yang dibawa oleh Rasulullah saw. Amalan yang terkeluar daripada lingkungan ini adalah ditolak dan tidak diterima oleh Allah swt.
  3. Orang yang beriman sama sekali tidak dibenarkan untuk menolak mana-mana amalan daripada Al Quran dan Sunnah dengan mengemukakan hujah akal. Akal mestilah tunduk dan mematuhi Al Quran.
  4. Hujah akal yang bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah adalah datang dan bersumber daripada syaitan. Allah melarang orang yang beriman daripada mengikuti jejak langkah syaitan. Orang beriman mestilah menjadikan syaitan sebagai musuh yang sentiasa ditentang sepanjang kehidupan manusia.



TAFSIRAN

1.  Al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya bahawa kalimah kaffatan adalah bermakna menuruti seluruh perintah Allah secara keseluruhan, dilandasi dengan berserah diri, tunduk dan ikhlas kepada Allah.

2.  Hamka dalam Al Azhar mengambil tafsiran Imam Syaukani yang menyatakan bahawa seluruh manusia ini memiliki iman kepada Allah. Samada kaum Nasrani, Yahudi, munafik mahupun kafir dilubuk hati mereka wujud keimanan kepada Allah. Lalu Allah membuat seruan supaya mereka semuanya kembali beriman kepada Allah dengan memasuki Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw.

3.  Kalimah "silmi" dalam ayat di atas merujuk kepada makna Islam iaitu penyerahan diri secara total kepada Allah.  Manakala "kaffatan" pula membawa makna semuanya. Maka orang yang beriman itu dipinta oleh Allah untuk menyerah diri kepada suatu sistem atau acuan yang telah ditetapkan Allah di dalam semua aspek kehidupan. Tidak kira perkara yang kecil apalagi yang besar.

4.  Justeru itu orang yang beriman mestilah mengambil keseluruhan Islam tanpa memilih mana yang dikehendaki dan menolak yang tidak disukai. Ada orang berjaya mengurus solat dengan sebaiknya kerana ini adalah perintah Allah tetapi gagal mengurus hal ehwal makanannya kerana dianggapnya makanan adalah hak mutlak manusia sepenuhnya. Lalu dimakanlah apa yang hendak dimakannya tanpa mengira halal atau haram mahupun syubhah. Orang ini merasakan bahawa makan minum tiada kaitan dengan Islam.

5.  Ada orang pula merasakan yang dikatakan terkeluar daripada Islam itu ialah mereka yang mengamalkan ajaran sesat seperti ajaran ayah pin, pembomohan, mandi safar, permohonan doa di atas kubur dan lain-lain khurafat. Namun tanpa disedari oleh kebanyakkan mereka yang beriman bahawa memisahkan politik daripada Islam juga adalah khurafat dan sesat. Politik adalah sebahagian daripada Islam. Tanpa politik maka tiada usaha pencegahan mungkar yang berkesan. Oleh yang demikian orang yang beriman mestilah mengurus pendirian politiknya sesuai dengan kehendak Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad saw. Inilah yang disebut oleh Allah di dalam surah Al Imran 103


Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;

6.  Orang yang beriman itu jangan mereka mengikuti jejak langkah syaitan. Antara sifat-sifat kesyaitanan itu ialah

  • suka kepada perpecahan
  • dengki
  • kianat
  • riya'
  • ujub
  • takabbur
  • enggan
  • menolak hukum Allah
  • membenci orang yang soleh
  • tidak suka kepada pengajian
  • menghancurkan orang yang berjihad
  • membenci lambang-lambang Islam

Orang yang beriman mestilah menjauhi sifat-sifat buruk ini demi mencapai kebahagian hidup di dunia hingga akhirat. Orang yang beriman mestilah mengatur langkah yang tersusun rapi bagi menghadapi hasutan syaitan. Antaranya ialah dengan

  • berpuasa - menyekat pengaruh hasutan syaitan
  • berzikir - menjauhkan syaitan daripada diri manusia
  • berinfaq - menghapus sifat bakhil yang merupakan sifat syaitan
  • berzuhud - menundukkan sifat kecintaan terhadap dunia mengangkat kecintaan ke negeri akhirat
  • berikhlas - menghapus sifat riya', ujub
  • berpasrah - menundukkan sifat enggan dan takabbur
  • berjihad - siap untuk mengikuti perintah Allah dengan berkorban apa sahaja 

KESIMPULAN

  1. Orang yang beriman mestilah menghayati keseluruhan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Penghayatan Islam secara terpilih iaitu melaksanakan ibadah-ibadah tertentu sahaja adalah tidak tepat sepertimana yang dikehendaki oleh ayat Al Baqarah 208.
  2. Penghayatan Islam yang syumul akan melahirkan tasawwur Islam yang juga syumul iaitu meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Islam adalah agama yang sesuai di semua zaman dan keadaan. Memilih Islam yang syumul akan menyelamatkan manusia daripada kezaliman dan penindasan sesama manusia. Yang kuat menindas yang lemah, yang lemah mencari perlindungan dan mengalami kehidupan yang terus tertekan. Sedangkan keadilan Islam terus memberi jaminan keselamatan. Yang kaya terus dibenarkan memiliki harta tanpa batasan asalkan melalui cara yang halal dan diwajibkan zakat sebagai pembelaan terhadap golongan yang miskin.

Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009