Posted by وان احمد ترمذي | Posted in Arahan 13: Surah Al Imran 102 | Posted on 17.10.10
Arahan 13: Surah Al Imran 102
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam (menyerah diri kepada Allah).
ASPEK PENGHAYATAN
- Orang yang beriman hendaklah memiliki taqwa yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah.
- Taqwa diterjemahkan dalam penyataan kasih dan sayang kepada Allah dengan melaksanakan dengan bersungguh-sungguh segala perintah Allah dan meninggalkan dengan sesungguh-sungguhnya segala yang dilarang Allah.
- Taqwa dihayati dalam segala aspek kehidupan. Tidak ada satu aspek daripada kehidupan ini yang terlepas daripada petunjuk taqwa. Daripada urusan masuk ke tandas sehinggalah kepada aspek pemerintahan dan kenegaraan adalah dalam urusan taqwa. Sekiranya ada orang yang beriman memisahkan mana-mana juzuk kehidupan daripada petunjuk taqwa maka orang itu belum lagi memiliki ketaqwaan yang sebenarnya.
TAFSIRAN
1. Ibnu Kathir pada penafsiran "taqwa yang sebenar-benar taqwa kepada Allah" telah mengutip tafsiran Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa hendaklah kamu berjihad di jalan Allah dengan sungguh-sungguh jihad, jangan membiar kaum musyrik mencela Allah, dan berlaku adil walaupun terhadap dirimu sendiri, orang tuamu dan anak-anakmu.
2. Demikianlah hakikat ketaqwaan diterjemah melalui aktiviti jihad. Yang beriman tetapi tiada aktiviti jihad maka keimanan belum lagi berada di tahap keimanan yang sebenar-benarnya. bagaimana orang beriman mahu mempunyai aktiviti jihad? maka hendaklah orang beriman itu menyertai jemaah Islam atau parti Islam. Di sinilah segala aktiviti berjihad itu akan dilaksanakan. Akan diuji oleh Allah kesabaran kita, proses berfikir, ujian pengorbanan harta dan diri. Mereka yang tidak menyertai jemaah Islam atau parti Islam maka di manakah segala proses jihad ini akan diterjemah?
3. Penyatuan dan perpaduan umat hanya akan berlaku atas kepentingan Allah. Allah Yang Maha Kaya tidak pernah berhajat kepada manusia tetapi manusialah yang berhajat kepada kekayaan yang dimiliki oleh Allah. Apabila kepentingan manusia itu sama iaitu mencari perpaduan dengan berdasarkan risalah Allah maka akan terlahirlah kegiatan-kegiatan manusia yang sama iaitu kegiatan yang menuju kepada keredhaan Allah. Inilah titik pertemuan kepada perpaduan manusia yang tidak memiliki kepentingan melainkan keredhaan Allah.
4. Asas perpaduan yang berasaskan kemanusiaan akan melencong kepada perpecahan. Dasar manusia berbeza-beza. Telah terbukti dalam sejarah dasar warna kulit, kekayaan,bangsa, keturunan,kedaerahan, kenegerian semuanya adalah dasar perpaduan manusia yang rapuh kerana tiada siapa yang lebih mulia daripada manusia yang lain. Justeru dasar perpaduan yang berasaskan taqwa adalah dasar yang cukup mantap kerana wujud kuasa tertinggi iaitu Allah yang menjadikan manusia.
5. Isu perpaduan Melayu hanya akan relevan apabila dasar perbincangannya adalah Al Quran dan Sunnah. Mana-mana asas keMelayuan yang bertentangan dengan Islam hendaklah diketepikan dan digantikan dengan sistem Islam yang hak. Contoh dasar keadilan Islam ialah dengan melaksanakan hukum Allah. Tanpa hukum Allah maka tidak ada keadilan. Melayu Islam yang mengaku beriman mestilah membuang hukum manusia dan segera diganti dengan hukum Allah. Sekiranya ini tidak berlaku maka bagaimana hendak dilaksanakan perpaduan berdasarkan ketaqwaan?
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
6. Begitu juga perpaduan antara kaum dan bangsa, hanya dengan kembali kepada nilai-nilai keadilan daripada Al Quran dan Sunnah keseluruhan manusia akan berpadu. Dasar keadilan sejagat hanya wujud dalam Islam. Demikianlah penekanan Al Quranyang tidak memaksa kepada keimanan kepada Allah tetapi sentiasa mengingatkan manusia bahawa mereka adalah daripada sumber yang satu iaitu Allah. Allah berfirman dalam surah Al Haj ayat 1
Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.
Semua bangsa-bangsa dan kaum-kaum dalam alam ini juga diseru kepada ketaqwaan. Mereka juga mestilah dikhabarkan tentang kesudahan alam yang dashyat. Hanya kesatuan fikrah yang seperti ini akan wujud perpaduan yang lebih ditu. Ini berbanding dengan perkauman berasaskan projek. Bila habis projek maka tamatlah perpaduan.
7. Ketika menafsir firman Allah "Dan janganlah kamu mati melainkan dalam Islam" Ibnu Kathir menyatakan yakni peliharalah Islam sepanjang waktu supaya kamu mati dalam keadaan Islam. Dan diantara sunnah Allah ialah barang siapa yang hidup menganut sesuatu maka akan mati dengannya dan barangsiapa yang mati dengan yang lain daripada Islam maka di akhirat nanti dia akan dibangkit dengan apa yang ia yakini di dunia.
Berdasarkan kepada kupasan di atas jelas bahawa keyakinan kepada Islam dan pemeliharaan Islam mestilah terus menjadi agenda setiap orang yang beriman. Tanggungjawab orang yang beriman bukan lagi memelihara, mengampu dan mendapat keredhaan manusia tetapi terus memelihara Islam untuk mendapat keredhaan Allah. Keyakinan terhadap Islam hingga ke akhir hayat akan memberi kesan terhadap hari kebangkitan. Orang yang benar-benar beriman dan matinya dalam Islam nanti akan dibangkit oleh Allah dengan mendapat syafaat Nabi Muhammad saw.
Di akhirat nanti ada 4 lagi perhimpunan manusia. Perhimpunan manusia dengan
- Haman (kaki ampu)
- Qarun (orang kaya yang kedekut dan pembiaya projek jahat Firaun)
- Firaun (penguasa yang zalim dan tidak mengikut perintah Allah)
- Abdullah bin Ubai (ketua munafik)
8. Pilihan orang beriman tidak lain melainkan menjadikan dirinya benar-benar beriman dan memelihara Islam dengan mengikut segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah. Membina kasih sayang dengan Allah dan Rasulullah saw. Berjuang dan berjihad di jalan Allah melalui jemaah dan parti Islam. Berinfaq dan bersedekah di jalan Allah. Meyertai parti Islam dan berjuang di dalamnya sehingga tertegak karajaan Islam yang hendak menegakkan hukum Allah. Bergelumang dengan majlis-majlis Ilmu dan berusaha membina sahsiah diri yang baik. Menjadi ahli masjid sehingga masjid terkesan dengan kehadirannya. Berjuang menentang kebatilan sehingga tertegak yang makruf dan diredhai Allah.
KESIMPULAN
- Pilihan manusia untuk keselamatan dunia dan akhirat hanyalah menambah taqwa kepada Allah. Mewujudkan taqwa yang sebenarnya merupakan tuntutan kehidupan hingga bertemu dengan Allah.
- Keyakinan terhadap Allah diterjemah dalam seluruh aktiviti kehidupan. Dari sekecil-kecil perbuatan sehinggalah urusan bernegara, taqwa menjadi teras bertindak. Al Quran menjadi asas pemikiran dan Sunnah menjadi tunjang dalam melaksanakan amalan taqwa dalam kehidupan.
- Menolak anjuran taqwa bermakna menjerumuskan diri ke lembah kesesatan dan kehinaan. Allah menyediakan azab yang sangat pedih terhadap mereka yang mengaku beriman tetapi tidak membuktikan keimanannya. Manusia jenis ini mereka beriman tetapi menolak hakikat Al Quran dan Sunnah untuk dilaksanakan dalam kehidupan.
Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009