Posted by وان احمد ترمذي | Posted in Arahan 12: Surah Al Imran 100 | Posted on 15.10.10
Arahan 12: Surah Al Imran 100
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
ASPEK PENGHAYATAN
- Orang yang beriman mestilah berpegang teguh dengan keimanan kepada Allah
- Orang yang beriman dilarang sama sekali mengikut petunjuk daripada Ahlul Kitab kerana mereka menyesatkan orang yang beriman. Kitab Nabi yang sebelum Nabi Muhammad saw semuanya telah terhapus
- Berpegang teguh dengan ajaran Nabi Muhammad saw adalah benteng daripada terjerumus ke lembah kesesatan
TAFSIRAN
1. Hamka dalam tafsir Al Azharnya menurun asbab nuzul ayat bahawa ayat ini diturunkan Allah di Madinah bagi menegur Syaas bin Qais pengacau yang membuat gangguan terhadap orang yang beriman. Teguran langsung ini ialah untuk mengelak orang yang beriman daripada Aus dan Khazraj kembali kepada agama mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw.
2. Seruan yang dibuat oleh Allah dalam ayat ini adalah dituju kepada mereka yang masih awal mengamalkan Islam di Madinah. Walaupun Nabi Muhammad saw berada di depan mata mereka namun gangguan daripada Yahudi dan Nasrani masih wujud. Justeru datang peringatan daripada Allah meminta supaya orang yang beriman itu jangan lagi bertemankan dengan Yahudi dan Nasrani kerana mereka akan menyesatkan orang yang beriman kembali kepada kekafiran.
3. Dalam konteks hari ini maka sudah pasti peringatan ini adalah sangat berguna. Memperteguhkan keimanan dalam berhadapan dengan musuh yang nyata iaitu Yahudi dan Nasrani. Inilah yang difirmankan oleh Allah dalam surah Al Baqarah ayat 120
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).
4. Ibnu Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Suci memperingatkan kaum mukmin agar jangan sampai mentaati sebahagian Ahli Kitab yang hasad kepada kaum mukmin kerana keimanannya. Ibnu Kathir bersandarkan surah Al Baqarah ayat 109
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
5. Seruan kepada kesesatan datang daripada segala penjuru kehidupan. Seruan itu tidak hanya dengan seruan, malahan datang kepada yang beriman itu dalam bentuk yang sangat menarik dan bergemerlapan. Segala bentuk tawaran didatangkan untuk menyesatkan yang beriman. Maka orang yang beriman itu hendaklah terus berwaspada kerana pemikiran yang menyesatkan ini akan terus datang kepada kita.
6. Mari kita mengambil beberapa cintoh yang mudah pemikiran yang sesat, antaranya
- Islam Hadhari?
- Pemikiran politik yang terpisah daripada urusan kehidupan
- Pemikiran ibadah ikut agama manakala urusan kehidupan ikut aku suka
- Pemikiran beribadah apabila pencen
- Pemikiran mendukung ketuanan Melayu denga memisahkan diri daripada Al Quran
- Seruan hiburan yang menyesatkan
- Siapakah idola kita? Apakah orang itu ulama?
- Siapakah pemimpin kita? Apakah pemimpin kita yakni mereka yang menjunjung hukum Allah?
- Pemikiran maju adalah dilihat dari indeks pembangunan bukan daripada indeks penghayatan agama
- Mahu makan makanan yang halal tetapi sumbernya haram - judi, arak
- Beriman dengan hukum Allah tetapi bila mengundi dalam pilihanraya pemimpin yang diundinya adalah daripada parti yang tidak mahu menegakkan hukum Allah.
- Beriman bahawa judi, arak, adalah haram namun yang diundinya dalam pilihanraya adalah pemimpin yang memberi lesen arak dan judi
- Beriman bahawa pindidikan mestilah berteraskan Islam (Al Quran dan Sunnah) tetapi apabila mengundi dalam pihanraya yang diundinya adalah pemimpin yang menolak Al Quran dan Sunnah
7. Marilah orang yang beriman membebaskan dirinya kerana di penghujung kehidupan ini adalah seluruh manusia akan dikembalikan kepada Allah. Relakah kita kembali kepada Allah dalam kesesatan? Relakah kita kembali kepada Allah dalam kekufuran? Relakah kita kembali kepada Allah dalam kekafiran? Sedangkan dalam kehidupan kita membuat pengakuan bahawa kita adalah orang yang beriman. Marilah kita terus bermuhasabah menanyakan diri apakah iman yang ada dalam diri kita benar-benar mengikut piawaian Al Quran dan Sunnah. Sekira bertemu jawapan adalah benar maka terus suburkan. Maka sekiranya bertemu jawaban tidak, masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Allah adalah Maha Penyayang dan Maha Pengampun.
KESIMPULAN
- Orang yang beriman hendaklah meninggalkan amalan jahiliyah yang bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah.
- Orang yang beriman juga hendaklah meninggalkan segala amalan yang tidak Islami. Amalan seharian orang yang beriman hendaklah bersih daripada segala kesyirikan dan kefasadan yang merosakkan amal baik yang dilakukan.
- Segala bentuk pemikiran yang bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah juga hendaklah ditinggalkan. Sekularisme (memisahkan agama daripada kehidupan), materialisme (mendapat untung dengan apa sekali pun), Kaumisme (mendahulukan bangsa tanpa mengira benar salah). Bersihkan amalan seharian hanya berdasarkan Al Quran dan Sunnah.
- Iman yang benar menghasilkan amalan yang benar dan diredhai Allah dunia dan akhirat. Dunia memperolehi ketenangan dan kebahagiaan manakala di akhirat dibalas Allah dengan nikmat daripada syurga.