Arahan 11: Orang Yang Beriman Mestilah Pengurus Harta Yang Baik

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 24.9.10

Arahan 11: Surah Al Baqarah 282


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.


ASPEK PENGHAYATAN

  1. Islam tidak pernah mengajar umatnya membenci harta.
  2. Bentuk penggunaan harta yang dibenarkan Islam seperti sedekah, infaq fisabilillah.  Islam juga melarang orang yang beriman memiliki harta daripada  sumber yang haram iaitu riba dan judi.  Adalah tidak benar Islam melarang pemilikan harta.

  3. Ekonomi adalah keperluan kehidupan.  Justeru yang hendak dibangkitkan ialah ekonomi Islam yang menghampiri keadilan yang diperlukan manusia.  Ekonomi yang dibina oleh asas pemikiran manusia seperti kapitalisme, sosialisme, komunisme adalah ekonomi menindas dan melakukan kezaliman.

    Ekonomi Kapitalisme – sesiapa ada duit dia menguasai ekonomi.  Yang kaya semakin kaya  dan yang miskin semakin papa.  Ekstrim kepunyaan adalah milik manusia

    Ekonomi Sosialisme -  konsep sama rata.  Ini bertentangan dengan kehendak manusia.  Tidak mungkin konsep ini dapat diterapkan.  Akan lahir masyarakat yang sangat menguasai ekonomi terutama di kalangan pemimpin.  Pada rakyat disama ratakan.  Tetapi pemimpin merekalah penguasa ekonomi negara.  Ektrim pengurusan harta kekayaan adalah pemimpin.

    Ekonomi Komunisme – memiliknegarakan keseluruhan kepunyaan.  Konsep ini juga sangat bertentangan dengan kemahuan manusia.  Ekstrim pemilik kekayaan adalah negara.
  4. Dalam ekonomi Islam etika dalam perjanjian adalah menjadi keutamaan.  Ini adalah untuk mengelakkan sebarang bentuk manipulasi dan penipuan.  Tiada pihak yang akan teraniaya.  Masing-masing pihak akan terikat dengan perjanjian.



TAFSIRAN


Dalam tafsiran ayat ini sahaja hampir keseluruhan mufassirin membahaskan sejumlah 18 potongan ayat.  Penjelasan yang begitu rapi oleh Allah di dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama sepanjang zaman.  Ayat ini adalah penjelasan Allah tentang hakikat ekonomi yang dilaksanakan di dalam sebuah negara.  Sesungguhnya penjelasan dalam ayat ini menolak hakikat bahawa  Islam tidak mampu memerintah kerana agama ini hanya menekankan soal aqidah sahaja.  

Allah menjelaskan secara terperinci bukan setakat bentuk hakikat perjanjian yang mesti dipatuhi malahan kepada bentuk saksi,  perniagaan atau pewarisan harta daripada orang kurang upaya pemikirannya juga dijaga keadilan itu oleh Allah.  Demikianlah kehebatan kekuasaan Allah dalam memastikan keadilan dirasai oleh seluruh struktur hiraki masyarakat.


Potongan Ayat 1 – Konsep berhutang dalam Islam


Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu


Ayat ini keseluruhannya adalah dirujuk kepada “orang yang beriman”.  Pemeliharaan aspek hutang piutang ini adalah penting demi menjaga akhlak orang yang beriman.  Al-Maraghi  menyatakan dalam tafsirannya bahawa kaum muslimin agar memelihara muamalah hutang-hutangnya yang meliputi barangan belian berhutang yang dibayar secara tetap (bulanan). Hamka dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa tugasan menulis adalah sangat perlu.  Ia meliputi upah-mengupah, sewa-menyewa, gadai-menggadai dan yang berkaitannya.  Hamka berhujah bahawa penulisan adalah sangat penting bagi mengekal dokumen perjanjian kerana faktor umur adalah ditangan Allah.  Mana-mana pihak yang mati lebih dahulu mati boleh sahaja menuntut hutang kepada pihak yang satu lagi.  Sekiranya yang mati itu ialah penghutang maka menjadi tanggungjawab warisnya untuk melunaskan hutang simati hingga selesai.  Sekiranya yang mati itu ialah yang memberi hutang maka si penghutang mestilah juga menyelesaikan hutangnya dengan bayaran secara amanah dan berterusan sehingga hutang tersebut selesai.

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan kenyataan Sufian Ats-Tsauri yang meriwayatkan dari Ibu Abbas “ayat ini diturunkan berkaitan dengan masalah salam (menghutangkan) hingga waktu tertentu.  Saya bersaksi bahawa salam yang dijamin untuk diselesaikan dalam tempoh tertentu adalah halal dan dizinkan oleh Allah”


Potongan Ayat 2 – Ciri Pertama Jurutulis – Adil


dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)


Potongan ayat ini menjelaskan ciri penulis yang dikehendaki oleh Allah iaitu yang adil.  Adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya.  Bebas daripada sebarang bentuk pengaruh yang boleh menukar perjanjian atau yang boleh menguntungkan sebelah pihak dan membuat penganiayaan terhadap pihak yang lain.  Al-Maraghi menyatakan bahawa juru tulis mestilah adil yang tidak memandang sebelah mata kepada dua pihak yang bersangkutan.


Potongan Ayat 3 – Ciri Kedua Penulis – Memahami Hukum Allah


dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya


Allah Taala dengan jelas menyatakan ciri jurutulis yang kedua ialah memahami syariat Allah.  Bagaimanakah bentuk perniagaan yang dihalalkan oleh Islam?  Apakah bentuk perkongsian perniagaan yang dibenarkan murabahah, musyarakah?  Apakah bentuk perniagaan saham yang dibenarkan oleh Islam?  Jelas Islam adalah agama berdaya saing.  Perniagaan yang diharamkan oleh Islam secara automatik tidak memerlukan sebarang perjanjian dan ikatan.  Justeru pinjaman secara Islam sesuai dengan ciri manusia beriman.

Tetapi mendahului ciri jurutulis dalam potongan ayat 2 tadi ialah adil.  Tiada manupulasi dan penipuan.  Syariat Allah boleh dipelajari.  Namun sifat mahu kepada keadilan adalah tunjang dalam sebarang ikatan perjanjian dan kegiatan ekonomi Islam.  Hamka dalam tafsirnya menyatakan adil dan ilmu berkaitan dengan syariat adalah dua gabungan penting.  Contoh yang diberikan Hamka ialah menulis tentang hutang mestilah tiada dibenarkan riba. Yang dianjurkan Islam ialah Qardhul Hassan.


Potongan Ayat 4 – Kewajipan Menulis


Oleh itu, hendaklah ia menulis


Islam meletakkan bahawa salah satu aspek penting dalam memastikan keadilan terlaksana ialah dokumen perjanjian.  Memang pinjaman RM10 tidak memerlukan suatu dokumen perjanjian yang dimaksudkan.  Tetapi sekiranya pinjaman ratusan ribu, ratusan juta, bilion Ringgit Malaysia (RM) maka sudah pasti wujud suatu dokumen perjanjian hutang dan pembayaran pinjaman.  Ayat ini adalah suatu penekanan yang menunjukkan betapa pentingnya dokumen perjanjian tersebut.  Al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya bahawa perintah ini ditetapkan setelah adanya larangan membangkang.  Sebab bahan yang dibahaskan adalah berkaitan dengan pemeliharaan hak.

 Di sinilah perbezaan antara pinjaman Islam dan konvensional.  Bunyinya macam sama sahaja – pinjaman.  Kadang-kadang orang yang beriman beranggapan bahawa bayar pun sama juga antara perbankan Islam, kaunter Islam dengan sistem bank konvensional. Malahan ada yang berhujah bahawa bayaran yang lebih dalam sistem pinjaman Islam.  Namun perbezaan yang sangat ketara ialah persoalan akad dalam dokumen perjanjian.  Kaedah ini menghalalkan pinjaman melalui bayaran dalam tempoh yang ditetapkan dengan bayaran yang tidak berubah.  Sekiranya bayaran bulanan yang  ditetapkan dalam dokumen perjanjian RM200 sebulan maka bayaran ini tetap sehingga tamat pinjaman.  Perjanjian ini akan terus dilaksanakan walaupun apa yang berlaku di dunia sama ada krisis kewangan, peperangan dan kacau bilau.

Dalam sistem perbankan riba,  bayaran hutang bergantung kepada kadar faedah  (base landing rate, BLR) yang ditetapkan berdasarkan Dolar America.  Tiada suatu ketetapan.  Sekiranya nilai Dolar America jatuh maka naiklah kadar faedah.  Ini sekiranya berlaku krisis kewangan dunia, peperangan dunia yang melibatkan Amerika.  Maka sipeminjam terpaksa membuat bayaran pinjaman tambahan kerana kejatuhan nilai Dolar America.  Inilah dasar kapitalis yang terus menekan sipenghutang sehingga tidak mampu membebaskan dirinya daripada belitan hutangnya. 
           
Perbezaan antara pinjaman Islam dan konvensional

Jenis pinjaman
Dokumen
Kaedah bayaran
Konsep
Akad
Islam
Untung kedua-dua pihak
Tetap sampai habis hutang
Keadilan
Wujud akad yang jelas
Konvensional
Untung kepada pemberi hutang
Tidak tentu ikut nilai Dolar America
Menekan peminjam
Tiada akad


Maka berdasarkan kepada jadual diatas maka sudah pasti yang dipilih oleh orang yang beriman ialah pinjaman secara Islam melalui Bank Islam (2 buah) , Kaunter Perbankan Islam (19 buah), Koperasi yang menawarkan pinjaman secara Islam.  Elak daripada mengambil pinjaman secara yang konvensional.


Potongan ayat 5 – Penyediaan ikatan perjanjian


dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas)


Dalam potongan ayat ini Al-Maraghi menyatakan bahawa Allah memberi ruang kepada orang yang memberi hutang untuk mengutarakan maksudnya kepada juru tulis yang dibimbing untuk melaksanakan keadilan dan menulis yang tidak melanggar syariat Allah.  Perjanjian ini  juga adalah hujah yang jelas dalam konteks pemberian hutang dan perjanjian pembayaran hutang.


Potongan Ayat 6 – Ikatan Taqwa Kepada Allah


Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya,


Jurutulis diikat dengan sifat taqwanya kepada Allah.  Jurutulis mestilah adil berdasarkan Al-Qur’an.  Jurutulis juga mestilah melaksanakan tulisan berkaitan perjanjian juga dengan syariat Allah.  Tidak cukup dengan syarat yang ketat itu Allah menghendaki jurutulis itu mestilah orang yang bertaqwa kepada Allah.  Al-Maraghi mengatakan anjuran bertaqwa ialah kerana Allah adalah penganugerah nikmat-nikmat dalam kehidupan manusia.  Sama ada kepada pemberi hutang, yang berhutang dan jurutulis.  Kesemuanya adalah penerima nikmat daripada Allah.


Potongan Ayat 7 – Tidak Mengurangi/Menambah Dalam Perjanjian


dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu


Dalam potongan ayat ini Allah terus membuat pengukuhan bahawa dalam isi perjanjian jurutulis mestilah tidak mengurangi atau menambah mengikut kesesuaian hawa nafsunya.  Jurutulis terdedah untuk mengurangi hak sebelah pihak dan menguntungkan pihak yang lain.  Ini adalah dilarang dalam Islam.  Al-Maraghi juga menyatakan bukan sekadar perjanjian yang berat sebelah malahan pernyataan perjanjian yang kabur dan terdedah kepada penafsiran yang menguntungkan sebelah pihak juga termasuk dalam aspek ini.   Di sinilah keadilan Islam, ia menjaga keadilan untuk semua.


Potongan Ayat 8 – Keadilan Untuk Yang Bodoh, Lemah Dan Keuzuran 


Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar);


Dalam potongan ayat ini, Allah menegaskan keadilan adalah milik Allah untuk seluruh golongan manusia terutama yang lemah.  Secara khusus Al-Qur’an menyatakan tiga golongan iaitu safih, da’if dan tidak sanggup.  Hamka mentakrifkan ketiga golongan itu seperti berikut ; 

  • Golongan Safih – orang yang tidak pandai mengaturkan harta bendanya kerana kebodohannya atau boros.  Dalam hukum Islam maka harta orang ini dipegang oleh seorang Hakim dan diberikan belanja hariannya sahaja
  • Golongan da’if – anak kecil yang belum cukup umur atau orang tua yang keuzuran dan lemah ingatannya atau anak yatim yang masih kecil (hidup dalam asusahn orang lain)
  • Golongan yang tidak sanggup membuat perjanjian – orang bisu, gagap, buta
Mewakili  ketiga-tiga golongan  ini ialah walinya yang mestilah bersikap adil. 

Demikianlah Allah menjaga keadilan manusia yang tunduk kepadaNya.  Tanpa mengira derjat dan pangkat, kaya atau miskin, kedudukan bangsa dan kabilah, warna kulit, celik atau buta, bisu, gagap atau pemidato hebat kesemuanya mereka yang beriman berhak mendapat keadilan Allah.


Potongan Ayat 9 – Mengadakan 2 Saksi


dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu


Dalam potongan ayat ini Allah Taala meletakkan syarat 2 saksi lelaki bagi menjadi saksi terhadap perjanjian tersebut.  Hamka menyatakan bahawa saksi bukan sekadar menyaksikan sah atau tidaknya tandatangan tersebut.  Malahan saksi mestilah mereka yang arif berkaitan dengan hal-hal yang disaksikannya.  Ini bermakna saksi dalam bab pernikahan berbeza dengan saksi dalam perjanjian hutang puitang. 

Al-Maraghi menyatakan harus saksi itu orang Islam dan adil.  Al-Maraghi juga mengutip pandangan Ibnu Qayyim dalam kitab A’lamu ‘l-Muwaqqi’in  yang mengatakan bahawa wujud perbezaan antara perkataan al-bayyinah dengan syahadah.  Al-Bayyinah adalah lebih umum dan ia menjelaskan hakikat kebenaran.  Mana-mana pihak yang boleh mendatangkan kebenaran maka ia dibenarkan.  Menurut Ibnu Qayyim tidak mengapa seorang yang bukan Islam di masukkan ke dalam al-bayyinah (sebagai bukti) selama hakim melihat bahawa dengan kesaksiannya akan terbukti kebenaran. Ibnu Qayyim adalah ulama di bawah bimbingan ulama tersohor umat Syeikhul Islam Ibu Taimiyyah.

Di sinilah keanjalan Islam.  Islam bersedia menampung keperluan umat.  Keanjalan ini menyebabkan Islam akan tetap relevan di semua zaman.


Potongan Ayat 10 – Saksi Boleh Juga 1 Lelaki Dan 2 Perempuan


Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi


Dalam suasana yang tidak mengizinkan maka Islam membenarkan pula 2 saksi perempuan untuk menggantikan seorang lelaki.  Allah mengangkat kemampuan Islam bukan sekadar terikat dengan 2 saksi lelaki sahaja malahan dibenarkan pula dalam keadaan tertentu perempuan untuk menjadi saksi dalam perjanjian.  Hamka meletakkan syarat saksi yang kamu setuju mestilah dipilih oleh pihak yang membuat perjanjian. 

Sekiranya perempuan maka 2 orang agar saling dapat membantu.  Bilangan 2 perempuan adalah untuk mengatasi kekeliruan.  Perempuan secara hakikatnya pada masa-masa tertentu berada dalam emosi yang tidak seimbang.  Maka perempuan memerlukan bantuan.  Berbanding dengan lelaki ia boleh sahaja beribadah kepada Allah tanpa had masa.

Hakikat perempuan boleh menjadi saksi dalam mana-mana perjanjian menolak tuduhan bahawa Islam berlaku tidak adil terhadap wanita.  Dalam hal sebesar perjanjian ekonomi wanita turut dilibatkan oleh Islam. 


Potongan Ayat 11 – Saksi Sedia Dipanggil / Kesediaan Menjadi Saksi


Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi


Dalam potongan ayat ini Allah Taala menjelaskan tugasan para saksi ialah untuk membereskan segala keperluan kesaksian mereka.  Termasuk dalam tugasan ini ialah memenuhi segala perbincangan yang berkaitannya.  Al-Maraghi meriwayatkan pandangan Ar-Rabi’ iaitu ayat ini diturunkan ketika seorang lelaki mengelilingi suatu kaum sambil meminta agar mereka bersedia menjadi saksi, tetapi tiak seorangpun yang bersedia untuk menjadi saksi.   Al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan hukum menjadi saksi adalah fardhu kifayah.  Hendaklah orang Islam melaksanakan tanggungjawab ini sebaik yang mungkin.


Potongan Ayat 12 – Semua Perjanjian Hendaklah Ditulis


Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya


Dalam potongan ayat ini ia menjadi nas dalam Islam bahawa mewujudkan dokumen perjanjian dalam apa sahaja bentuknya adalah suatu kewajipan.  Al-Qur’an meletakkan istilah kecil atau besar skala perniagaan adalah isyarat untuk menegakkan keadilan.  Perniagaan berskala kecil atau hutang yang berskala kecil (ribuan)  mungkin akan menimbulkan permusuhan apabila tiada bersamanya sebarang dokumen perjanjian.  Apa lagi perniagaan yang berskala besar atau hutang berskala besar.

Demikianlah Islam mengaturkan keadilan untuk mengelakkan sebarang permusuhan dan pertikaian.  Dokumen yang ada akan menjadi bukti kukuh terhadap sebarang bentuk pertikaian selepas dimaterai perjanjian.  Yang kecil jangan dipandang remeh, yang besar jangan diambil ringan.  Kecil atau besar sekiranya tidak dapat diurus dengan baik akan menimbulkan perpecahan dan pergaduhan.  Inilah yang hendak dielakkan oleh Islam.


Potongan Ayat 13 – Perbuatan Yang Menghampiri Keadilan Di sisi Allah 


Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu


Dalam potongan ayat ini Allah Taala menekankan 3 perkara yang sangat dekat dengan hati manusia.  3 perkara itu ialah

  1. Mahukan keadilan
  2. Menghendaki hujah yang kuat
  3. Menghilangkan keraguan
Sifat-sifat ini dipenuhi oleh Allah melalui arahan menulis perjanjian.  Ibnu Kathir menyatakan bahawa ketiga-tiga sifat ini akan menjernihkan kembali segala permasalahan yang timbul dan membaiki hubungan kemanusiaan.


Potongan Ayat 14 -  Perniagaan Tunai


Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya


Potongan ayat ini pula menjelaskan tentang sifat perniagaan tunai yang tidak memerlukan sebarang catatan.  Disinilah keadilan Islam membuat pemeliharaan terhadap golongan yang tidak berkeupayaan.  Golongan yang berada dan memiliki kekayaan tidak wujud masalah dalam konteks pembelian barangan.  Merekaboleh membelinya secara tunai.  Namun kepada golongan yang tidak berkeupayaan Islam menganjurkan surat perjanjian agar terserlah keadilan Illahi.

Ibnu Kathir menyatakan bahawa jual beli yang tunai maka tidak ada apa-apa yang hendak dicatatkan dan tiada sebarang kekhuatiran.


Potongan Ayat 15 – Anjuran Mengadakan Saksi Dalam Penjualan


Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli


Dalam potongan ayat ini Allah Taala menganjurkan supaya saksi diwujudkan dalam apa sahaja bentuk transaksi sama ada tunai mahupun yang bertempoh (berhutang).  Dalam kes berhutang kesaksian adalah sangat diperlukan. Ini agar keadilan daripada Allah terserlah dan terpelihara.

Manakala dalam kes jual beli yang tunai juga memerlukan kesaksian. 

Ini berdasarkan hadis Khuzaimah bin Tsabit Al-Ansari yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang dikutip oleh Ibnu Kathir.  Khuzaimah menyatakan bahwa “suatu ketika Nabi Muhammad saw telah membeli kuda daripada seorang badwi.  Dan Nabi berjalan pantas dihadapan manakala badwi dan kuda berada di belakang.  Lalu apabila orang ramai melihat secara terpisah Nabi dan Badwi maka orang ramai datang kepada badwi dan mahu mebeli kudanya. Maka Badwi menyeru Nabi Muhammad saw, “Jika engkau sebagai pembeli kuda ini maka belilah.  Dan jika bukan maka aku akan menjualnya.”  Mendengarkan seruan badwi itu maka Nabi berkata padanya “Bukankah aku telah membelinya daripada kamu” Badwi menjawab, “Tidak, demi Allah”.  Lalu Nabi saw bersabda “Justeru saya telah membelinya daripada kamu”. Maka orang ramai yang ingin membeli kuda itu mengelilingi Nabi saw dan badwi dan berkata-kata.  Lalu badwi berkata “ Ayuh, datangkan seorang saksi yang akan mempersaksikan bahawa aku telah menjualnya padamu? Datang seorang sahabat Nabi saw lalu berkata  “Hai badwi, perkataan Nabi saw adalah benar”  Kemudian datanglah Khuzaimah yang menjadi saksi kedua kepada penjualan kuda Badwi kepada Nabi saw, katanya “Aku bersaksi bahawa kamu (badwi) telah menjualnya (kuda kepada Nabi saw)” Rasullullah saw menatap wajah Khuzaimah dan menjadikan kesaksian Khuzaimah sebagai kesaksian 2 orang lelaki.


Potongan Ayat 16 – Penulis Dan Saksi Tidak Menyulitkan


Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan


Di dalam potongan ayat ini pula Allah meletakkan syarat bahawa juru tulis dan saksi tidak boleh saling menyulitkan.  Oleh kerana Islam sudah mengangkat keperluan menulis dokumen dan penyaksian maka memenuhi tanggungjawab ini adalah suatu keperluan.  Juru tulis tidak dibenarkan membuat perkara yang boleh mendatangkan mudarat kepada mana-mana pihak.  Al-Maraghi mentakrifkan perkataan yudaar dengan makna penulis atau saksi tidak dibenarkan membuat bahaya (celaka)


Potongan Ayat 17 – Mengadakan Bahaya Perbuatan Fasiq


Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu


Dalam potongan ayat ini Allah Taala memberi amaran keras terhadap penulis dan saksi  yang mahu mengadakan bahaya dalam perjanjian.  Perbuatan mengadakan perkara khianat ini adalah terlarang dan dkutuk Allah.  Allah menggunakan istilah fasiq terhadap perbuatan tersebut.  Al-Maraghi mengatakan bahawa fasiq ialah perbuatan yang terkeluar daripada ketaatan kepada Allah. Pelakunya dicatat melakukan dosa disisi Allah.

Jaminan seperti ini adalah sangat perlu.  Kecurangan adalah perkara yang sangat terkait dengan hati.  Hati yang gerun kepada Allah menghampiri kepada kebenaran dan kejujuran.  Hati yang diselaputi dengan sifat-sifat kesyaitanan akan jauh daripada Allah dan mengahmpiri kepada kefasikan.


Potongan Ayat 18 – Bertaqwalah Kepada Allah Yang Mengetahui Segala Sesuatu


Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 


Dalam potongan ayat terakhir ini Allah Taala mengikat segala proses sama ada perniagaan yang bertempoh mahupun yang tunai dengan ikatan bertaqwa kepadaNya.  Jelas bahawa ikatan taqwa adalah ikatan yang menghalalkan keperluan di dunia yang berasaskan Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad saw serta menyelamatkan kehidupan yang kekal abadi di akhirat.  Biarpun berapa harganya,  orang yang beriman akan tetap berbekal dengan bekalan taqwa demi suatu kehidupan yang menyelamatkannya dari azab neraka.

Ibnu Kathir ketika memberi komentar terhadap potongan ayat ini mengemukakan  ayat surah Al-Hadid 28 sebagai pernyataan makna bertaqwalah kepada Allah


Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 



KESIMPULANNYA

  1. Kehidupan bukan milik mutlak manusia.  Manusia mestilah mengurus kehidupan berdasarkan kepada Al-Qur’an dan Sunnah.  Hanya kehidupan yang diurusi dengan ketaqwaan akan terselamat di dunia mahupun di akhirat.
  2. Islam adalah agama yang membuat bimbingan secara dekat kepada penganutnya.  Termasuk yang dibimbing Al-Qur’an dan Sunnah ialah bab perniagaan jual-beli, sewa-menyewa, upah-mengupah dan gadaian.  Ia tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya melainkan kembali kepada sistem yang telah diaturkan Islam
  3. Termasuk dalam bimbingan Al-Qur’an dan Sunnah ialah menyelamatkan umat dalam konteks bernegara.  Bagaimanakah ekonomi bernegara dapat juga tunduk dan patuh kepada Al-Qur’an dan Sunnah?.  Untuk itu mendapatkan kekuasaan melalui pilihanraya dan diletakkan kekuasaan itu ditangan orang yang benar-benar beriman sehingga dapat mengatur negara secara Islami.  Yang wujud masa kini ialah dua sistem iaitu konvensional dan Islam.  Orang yang benar-benar beriman mestilah yakin seyakinnya bahawa yang menyelamatkan manusia seluruhnya hanyalah Islam.
  4. Arkitek kepada manusia seluruhnya ialah Allah.  Kemahuan manusia adalah dalam pengetahuan Allah.  Maka Allah menurunkan Al-Qur’an.  Di dalam Al-Qur’an terdapat 19 seruan “Wahai seluruh manusia” daripada Allah.  Ini jelas adalah makna-makna yang diturunkan Allah untuk menyelamatkan seluruh manusia.
  5. Menguruskan ekonomi secara Islami akan melahirkan suasana menang-menang (win-win).  Kedua-dua belah pihak (pemberi hutang dan penghutang) tidak akan teraniaya, Begitu juga penyewa dan yang menyewa juga tidak teraniaya.  Begitu juga antara pengupah dengan penerima upah (majikan dan pekerja) tidak akan teraniaya. Inilah rahmat melaksanakan Islam.  Kenapa masih wujud keraguan dalam melaksanakan  Islam? Kenapa masih mahu menyokong mungkar? Kenapa masih mahu menyokong mereka yang tidak mahu kepada Islam?


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2010