Arahan 5: Orang Yang Beriman Mestilah Menunaikan Ibadah Puasa Di Bulan Ramadhan

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 27.3.10

Arahan  5: Surah Al Baqarah 183



Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. 
Al Baqarah:183





ASPEK PENGHAYATAN


  1. Ibadah berpuasa di bulan Ramadhan adalah wajib bagi setiap orang yang beriman. Ia adalah latihan kerohanian daripada Allah untuk memantapkan hubungan yang langsung dengan Allah.
  2. Berpuasa sehingga mencapai tahap yang tinggi nilai ketaqwaan itu bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga. Konsep berpuasa iaitu menahan lapar dan dahaga tidak membawa sebarang makna untuk kehidupan akhirat kerana tiada terbina taqwa dan tiada penambahan taqwa kepada Allah. Konsep berpuasa sebeginilah yang dihayati oleh kebanyakan orang yang beriman.
  3. Berpuasa mestilah menambah taqwa. Seluruh anggotanya berpuasa. Mata berpuasa daripada melihat yang lagho. Tangan dan kaki berpuasa daripada melakukan kemungkaran. Lidah berpuasa daripada mengata, mengumpat, memcerca, berbohong dan bertengkar. Hati berpuasa daripada perkara yang dimurkai Allah dan akal pula berpuasa daripada berfikir sesuatu yang bertentangan dengan Allah.
  4. Semakin lama berpuasa Ramadhan semakin menebal ketaqwaan, kasih sayang kepada Allah dan Rasul, semakin sayang kepada perjuangan Islam, semakin kuat berinfaq dan seterusnya.



TAFSIRAN

1.  Dalam seruan (arahan) kali ini Allah menggunakan perkataan yang sama seperti seruan kewajiban terhadap hukum Allah (qisas) iaitu "kutiba". Melaksanakannya memperolehi keredhaan Allah dan meninggalkannya mendapat kemurkaan Allah.

2.  Secara perbandingan di antara 2 "kutiba" iaitu menegakkan hukum Allah (qisas) dan berpuasa.

Sikap orang Melayu terhadap menegakkan hukum Allah (qisas)

  • Sambutan - dingin
  • Jihad - tidak mahu campur justeru tergugat pangkat dan pingat
  • Pandangan  - negatif, orang yang memperjuangkan hukum qisas dikatakan ekstrim
  • Sumber Ilmu - jarang dibicarakan dan dibahaskan
  • Penyertaan - orang tertentu sahaja, yang sepatutnya semua yang beriman

Sikap orang Melayu terhadap berpuasa di bulan Ramadhan

  • Sambutan - sangat seronok dan meriah, berkenduri menyambut Ramadhan
  • Jihad  - melibatkan diri sepenuhnya sebab tiada ancaman
  • Pandangan - sangat positif
  • Sumber Ilmu - kerap dan bersungguh mencuba dan menghayati makna-makna Ramadhan
  • Penyertaan - semua lapisan

3.  Terjemahan daripada ibadah puasa ialah taqwa. Taqwa menjana jihad tanpa gerun kepada mana-mana pihak melainkan Allah sahaja. Taqwa akan menjana kekuatan untuk berjuang dan berjihad menegakkan segala kepentingan Allah. Taqwa tidak lagi berdolak dalik dengan seribu alasan untuk lari daripada jihad.

4.  Menefetasi taqwa adalah kecintaan terhadap akhirat melebihi kecintaan terhadap dunia. Ini langsung diterjemah oleh Nabi Muhammad saw yang berperang di bulan Ramadhan, Badar Al Qubra. Tanpa mengira kepenatan, mereka berjuang mempertahankan Islam daripada dicerobohi oleh orang kafir.

5.  Mereka yang tiada ketaqwaan kepada Allah, dalam Badar ditunjukkan oleh Allah kelompok ini iaitu golongan orang yang munafik. Taqwa mereka hanya di bibir. Taqwa mereka tanpa tindakkan. Taqwa mereka membiarkan Nabi Muhammad saw berjuang bersama sahabat yang lain sedangkan mereka bersenang di Madinah. Mereka adalah golongan yang takut kematian walaupun kematian itu suatu kepastian. Seramai hampir 700 orang munafik keluar dari perjalanan ke Badar dan kembali ke Madinah yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Khalaf.

KESIMPULAN

  1. Orang yang beriman mestilah memenuhi segala tuntutan Allah.
  2. Komitmen yang sama terhadap tuntutan Allah mestilah diberi samada yang susah apa lagi yang senang. Arahan yang berstatus wajib "kutiba" mestilah terus didokong walaupun di hadapan terdapat bermacam-macam ujian.
  3. Manusia cenderung mahu melaksanakan yang senang. Puasa ibadah mudah. Hanya menahan lapar dan dahaga sahaja. Di hujung tempoh berpuasa ada majlis berbuka. Di hujung bulan pula dihadiahkan Allah dengan hari raya. Manakala arahan berstatus wajib iaitu menegakkan qisas manusia jadi enggan. Ini kerana ianya jihad yang sukar. Ujian berat menunggu di hadapan. Pangkat tergugat. Pingat akan keciciran. Gaji tiada kenaikan. Terdedah untuk sentiasa ditukar tempat kerja. Akhirnya menyebabkan cenderungnya manusia menjauhi jihad yang wajib ini. Ada golongan menyatakan pula bahawa puasa wajib dan qisas adalah sunat. Inilah kekeliruan hasil tarbiyah yang tidak mendalami bab keagamaan.
  4. Buah taqwa adalah jihad. Puasa adalah jihad rohani untuk membina kekuatan diri untuk melaksanakan jihad yang lebih besar. Qisa adalah jihad menegakkan keadilan Allah di dunia dan menyelamatkan umat manusia daripada kebejatan akhlak. Qisas adalah jihad yang besar. Jihad yang lebih besar memerlukan pengorbanan yang lebih besar. Justeru ibadah puasa adalah landasan terbinanya jiwa berkorban. Daripada ibadah puasa, timbul hubungan kasih sayang dengan Allah. Maka bermula daripada sifat yang hebat ini timbul semangat berkorban yang lebih besar iaitu untuk menegakkan hukum qisas yang diwajibkan Allah. Sekiranya ibadah puasa yang sekian lama dilakukan namun belum lagi mencapai hasil ke tahap ini atau tiada langsung yakin dengan hukum Allah maka bersegeralah muhasabah ibadah puasa yang dilakukan.


Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009