Arahan 4: Orang Yang Beriman Mestilah Meyakini Hanya Hukum Allah Yang Membawa Keadilan Dan Berusaha Untuk Melaksanakannya Dalam Kehidupan

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 27.3.10

Arahan  4: Surah Al Baqarah 178



Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. 
AL Baqarah:178




ASPEK PENGHAYATAN

  1. Orang yang beriman wajib meyakini akan hukum Qisas secara qat'i dan hukum ini adalah daripada Allah. Hukuman yang maha adil adalah datangnya daripada Allah.
  2. Menolak hukum Qisas daripada Allah bermakna telak terkeluar daripada Islam iaitu kafir. Penolakan ini bermakna menafi adanya ayat Al Quran yang di atas.
  3. Hukum Qisas adalah jaminan kepada kebahagiaan kehidupan bermasyarakat. Hukum ini akan membebaskan mereka yang terlibat daripada sifat buruk manusia iaitu balas dendam.
  4. Tiada agama yang selengkap Islam dengan meletakkan kaedah hukum terhadap penjenayah terutama jenayah yang melibatkan pembunuhan, mencederakan dan melukakan anggota badan.
  5. Hukum Qisa adalah wajib. Oleh yang demikian maka menyertai perjuangan parti untuk menegakkan hukum ini juga adalah wajib. Hukum Qisas tidak akan tertegak melalui kerja perseorangan. Ia melibatkan kuasa dan pembentukan sebuah kerajaan untuk melantik Qadi dan mahkamah. Oleh yang demikian ia mestilah melibatkan sebuah jemaah atau parti yang menyertai pertandingan dalam pilihanraya. Maka menjadi ahli kepada parti juga adalah suatu tuntutan wajib. Menyokong perjuangan parti yang mahu menegakkan hukum Qisas juga adalah wajib. Membiayai perjuangan ini dengan harta yang dimiliki juga wajib.
  6. Hukum Qisas adalah untuk orang yang beriman. Sekiranya orang yang beriman itu baik maka ia tidaklah perlu risau dengan hukuman ini. Hukuman adalah untuk yang bersalah sahaja. Pembunuhan adalah sebahagian jenayah kemanusiaan. Jenayah pertama pembunuhan adalah pembunuhan Qabil ke atas Habil.



TAFSIRAN

1.  Dalam tafsiran ini. yang mahu difokuskan ialah orang yang beriman mestilah meyakini bahawa adanya hukum Qisas daripada Allah dalam konteks jenayah bunuh. Menafikan adanya hukum Allah ini adalah kafir.

2.  Keadilan Allah dalam hukum ini telah dibicarakan secara ilmiah oleh para ulama. Kitab-kitab yang berkaitan dengan Qanun Jinayah Syar'iah cukup banyak. Namun yang mengerikan ialah bab perlaksanaan. Belum ada kerajaan atau pihak berkuasa yang sanggup melaksanakan hukuman ini kecuali di Mekah dan Madinah.

3.  Maka marilah dianalisiskan daripada aspek untuk melaksanakan hukum ini. Iaitu ia mestilah dilaksanakan melalui kuasa dan kerajaan. Menurut kaedah Usul Fiqh

Tidak akan tertegak sesuatu yang wajib melainkan yang dengannya maka ia adalah wajib 

4.  Di dalam Al Quran Allah swt menyinggung hal yang berkaitan dengan kuasa, kerajaan dan pemerintahan melalui akar kata al-mulk. Allah swt sendiri menyatakan ayat yang berakar kata dengan perkataan
  • mulka, mulki dan mulku                   42 ayat
  • mulkanu, mulkihi                                3 ayat
  • mulkan                                                3 ayat
  • maalika, maaliki, maaliku                  3 ayat
  • malikan                                               2 ayat
  • maliki, maliku                                   11 ayat
dan selain daripada itu terdapat satu surah yang secara langsung dinamakan oleh Allah dengan nama surah Kerajaan atau Al Mulk. Begitulah aspek penekanan yang diberikan oleh Al Quran.  Melihat kepada asas ilmu ini maka orang yang beriman mestilah meyakini mewujudkan sebuah kerajaan yang berasaskan Al Quran dan Sunnah adalah suatu kewajiban sehingga tertegak keadilan Allah.

5.  Ada di kalangan orang yang beriman tidak mahu masuk campur hal pembinaan kerajaan. Pembinaan kerajaan dibiarkan kepada orang Islam sekular yang tidak beriman kepada Allah. Mereka memisahkan agama dengan politik. Kepada mereka yang tidak mahu mencampuri urusan pembinaan kerajaan yang baik berdasarkan Al Quran dan Sunnah, kami menyeru agar segera meninggalkan pendekatan yang bertentangan ini. Solat anda hanya akan sah apabila surah Al Fatihah dibaca selengkapnya. Sekiranya anda adalah manusia yang beriman yang enggan mencampuri urusan pembinaan kerajaan maka ayat mengenai kerajaan dalam surah Al Fatihah jangan juga dibaca dalam solat anda.


Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). 
 Al Fatihah:4

Jika anda tidak membaca ayat di atas ini (Al Fatihah:4) maka solat anda akan terbatal kerana bacaan surah Al Fatihah anda tidak sempurna.

Anda membaca Al Quran sehingga khatam di bulan Ramadhan atau di bulan-bulan lain, surah Al Mulk atau sejumlah ayat yang berkaitan kerajaan maka janganlah saudara baca kerana ia adalah surah dan ayat mengenai kerajaan. Apakah bacaan anda dikira khatam? Sudah pasti tidak.

Begitulah keimanan seseorang tidak akan sempurna apabila menolak segala urusan yang berkaitan dengan urusan pembinaan sebuah kerajaan yang berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah. Bertindaklah untuk kepentingan umat sejagat dan keadilan daripada Yang Maha Adil.

6.  Segolongan manusia pula berusaha kononnya untuk membetulkan kepincangan dari dalam. Hujah golongan ini ialah mereka juga sebangsa dengan kita. Lalu beliau yang beriman menyertai parti yang bersifat sekular. Dua kepentingan yang bertentangan. Orangnya beriman tetapi partinya sekular yang menolak hukum Allah. Kaedah membetulkan dari dalam belum pernah menunjukkan kejayaan kerana perbezaan kepentingan. Sifat makruf dan mungkar adalah dua sifat yang bertentangan. Ia tidak akan dapat bersatu. Kepentingan pendukung kepada kemungkaran akan tergugat apabila datang kemenangan. Kebatilan akan hancur dan yang tertegak adalah kebenaran.

7.  Untuk menegakkan hukum Qisas yang wajib maka mendirikan sebuah kerajaan adalah wajib. Fungsi kuasa dan kerajaan adalah untuk melantik Qadi dan Mahkamah bagi melaksanakan keadilan. Untuk mendapat kuasa maka mestilah umat Islam mempunyai sebuah jemaah atau parti yang memperjuangkan keadilan Allah melalui hukum Qisas. Parti ini pula mestilah menyertai pertandingan dalam pilihanraya umum negara. Mengundi parti dalam pilihanraya yang mahu menegakkan hukum Qisas juga adalah wajib. Kemenangan yang majoriti dalam pilihanraya yang adil akan memungkinkan terlaksananya hukum yang maha adil ini.

8.  Seluruh orang yang beriman marilah bermuhasabah
  • Sudahkah aku menyertai jemaah/parti (menjadi ahli) iaitu parti yang memperjuangkan hukum Allah yang maha adil ini?
  • Kalau aku dah selesai, sudahkah aku mengajak kaum keluarga aku menyertai parti yang memperjuangkan hukum Qisas ini?
  • Sudahkah aku menginfaqkan harta aku kepada perjuangan ini?

9.  Inilah tindakan yang perlu dilaksanakan. Perbincangan akademik hanyan akan menyebabkan kita terus terawang-awang tanpa tindakan yang jitu. Sekiranya kita benar-benar beriman, maka lakukan segera perubahan iaitu meninggalkan kefahaman lama yang bertentangan dengan Islam dan menuju kepada kecintaan yang lebih hebat kepada Islam melalui jihad yang berterusan demi suatu cita-cita menegakkan hukum Allah di muka bumi.


KESIMPULAN

  1. Menegakkan hukum Allah adalah wajib.
  2. Berusaha untuk menegakkan hukum Allah adalah sebuah daripada iman.
  3. Menyertai parti yang berusaha menegakkan hukum Allah adalah wajib.
  4. Haram menyatakan bahawa ada hukum yang lebih adil daripada hukum Allah.
  5. Pendekatan "tak campur" adalah bertentangan dengan semangat keimanan kepada Allah. Pendekatan "membetulkan dari dalam" untuk parti yang bersifat sekular juga tidak sesuai bagi yang beriman kepada Allah. Kenapa mesti mendedahkan diri kepada kebinasaan? Sedangkan Nabi mengajar kita bahawa darar hendaklah dijauhi.