Arahan 3: Orang Yang Beriman Mestilah Makan Makanan Yang Baik Yang Direzekikan Oleh Allah

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 26.3.10

Arahan  3: Surah Al Baqarah 172



Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat (mengabdikan diri) kepadanya.
Al Baqarah 172




ASPEK PENGHAYATAN

  1. Orang yang beriman disuruh oleh Allah memakan makanan yanh halal lagi baik. Memakan makanan yang halal adalah suatu tuntutan. Makanan yang haram dan syubahat (nilai kehalalan yang rendah) hendaklah dijauhi.
  2. Rokok hendaklah dijauhi kerana ia adalah haram.
  3. Makanan yang halal itu bukan sekadar barang yang dimakan itu sahaja yang halal, namun Islam sangat menekankan tentang sumber pendapatan dan pembeliannya juga mestilah halal.
  4. Hanya Allah sahaja kuasa penentu yang mengurniakan rezeki kepada seluruh makhluk yang diciptakanNya. Yang lain daripada Allah bukan penentu. Ia adalah penyebab. Justeru orang yang beriman mestilah bergantung harap hanya kepada Allah.Allah boleh sahaja melantik sesiapa sahaja menjadi penyebab.
  5. Orang yang beriman mestilah sentiasa bersyukur kepada Allah di atas kurniaan rezeki oleh Allah dalam apa sahaja bentuknya. Tanda syukur tersebut diterjemahkan dalam bentuk pengabdian diri yang sentiasa bertambah di dalam kehidupan.



TAFSIRAN


1.  Betapa hebatnya agama Allah, hal ehwal tentang makanan hamba-hambaNya juga mendapat bimbingan langsung daripada Allah. Allah hanya mengasihi orang yang beriman yan memakan makanan yang dihalalkan oleh Allah. Oleh yang demikian orang yang beriman hendaklah mencari makanan yang halal sahaja untuk di makan.

2.  Makanan yang halal itu bukan sahaja terletak pada benda yang dimakan. Akan tetapi ia turut merangkumi hal yang berkaitan dengan
  • sumber yang halal
  • cara mendapatnya halal
  • dibeli dengan cara yang halal tiada penginayaan seperti barang curi
  • barang yang dimakan tidak membawa kemudaratan kepada manusia

3.  Makanan yang baik juga membawa makna yang baik untuk badan. Ada juga makanan yang halal tetapi membawa kemudaratan untuk kesihatan manusia seperti
  • gula, nasi dan barangan yang menghasilkan glukos dalam badan adalah tidak sesuai untuk mereka yang mengalami penyakit kencing manis
  • makanan laut adalah tidak sesuai untuk mereka yang berpenyakit "gaot"
  • daging tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kolesterol tinggi
maka mereka yang ada penyakit hendaklah segera berpantang demi kesihatan yang baik untuk tidak lain melakukan pengabdian diri kepada Allah.

4.  Penekanan mendapat sumber pendapatan yang halal penentu memperolehi makanan yang baik disebut oleh Allah dalam ayat surah Al Baqarah 174



Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.  Al Baqarah 174

5.  Selain daripada hal menetukan bahawa orang yang beriman memakan makanan yang halal, Allah juga membimbing manusia yang beriman untuk meletakkan keyakinan yang mantap bahawa rezeki yang diperolehi oleh manusia itu adalah datangnya daripada kurniaan Allah. Sikap dan keyakinan ini sangat penting demi suatu perjuangan dan jihad Islam. Mereka yang terikat dalam perjuangan dan jihad sentiasa akan berhadapan dengan tekanan. Gaji mereka disekat, pangkay mereka ditahan dan projek serta perniagaan mereka disita. Allah memberikan jaminan bahawa rezeki adalah daripadaNya. Bergabung seluruh manusia membuat perancangan untuk menyekat rezeki yang mahu dikurniakan oleh Allah, namun mereka tidak akan dapat menahan apa yang hendak diberikan oleh Allah.

6.  Adalah haram dan syirik jika ada yang menyatakan bahawa

  • "kalau tidak kerana fulan maka matilah orang itu"
  • "kalaulah tidak kerana kerajaan maka semua orang Melayu akan susah"
  • "kalau tidak kerana pertubuhan ini maka hancurlah Melayu"

7.  Pertanda terbesar orang yang beriman ialah bersyukur kepada segala kurniaan Allah. Sifat qana'ah ini adalah sangat penting sehingga wujud rasa pengabdian diri kepada Allah yang tinggi. Orang yang beriman mestilah membebaskan dirinya daripada sifat takabbur, bongkak, membesarkan diri dan segala sifat kesyaitanan yang dimurkai Allah.


KESIMPULAN


  1. Orang yang beriman mestilah memakan makanan yang halal. Makanan yang halal akan membina kecenderungan yang tinggi untuk berjihad di jalan Allah. sebaliknya banyak memekan makanan yang haram akan menjauhi diri daripada agama Allah.
  2. makanan yang halal itu bukan sahaja zat makanan itu mesti halal tetapi juga aspek sumbernya juga mestilah halal. Barang yang dimakan halal tetapi sumber pembeliannya adalah rezeki hasil judi mestilah dijauhi oleh orang yang beriman kerana makanan akan menjadi darah daging yang akhirnya adalah nadi penggerak dalam kegiatan hidup. Memakan makanan daripada sumber yang halal akan menjadikan kehidupan menjadi berkat.
  3. Allah penentu kepada rezeki yang diterima makhluk. Ayat ini jelas supaya orang yang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah. Orang yang beriman semestinya tidak takut dengan ancaman manusia kerana manusia bukan penentu rezeki yang diterimanya.
  4. Bimbingan Ilahi ialah mereka yang beriman mestilah sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan. Tidak tamak, tidak bakhil, tidak memboros dan membazir melainkan zuhud dengan sentiasa bersyukur terhadap kurniaan Allah.

Ustaz Wan Ahmad Tarmizi 2009