Arahan 2: Orang Beriman Mestilah Memiliki Sifat Sabar Dan Tekun Mendirikan Solat

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 24.3.10

Arahan  2: Surah Al Baqarah 153


Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.
Surah Al Baqarah 153



ASPEK PENGHAYATAN


  1. Orang yang beriman diminta oleh Allah untuk memohon pertolongan hanya kepadaNya.
  2. Memohon pertolongan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan dengan mendirikan solat.
  3. Orang yang beriman mestilah yakin bahawa Allah adalah bersama dengan mereka yang sabar.


TAFSIRAN

1.  Seluruh manusia mempunyai cita-cita dalam kehidupan. Hamka menyatakan dalam tafsirnya bahawa cita-cita yang paling mulia ialah cita-cita untuk menegakkan agama Allah. Dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah ini maka manusia akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tekanan. Begitulah yang telah ditunjukkan oleh seluruh para Nabi dan Rasul Allah. Mereka adalah golongan yang sangat mulia di atas kesabaran yang dilalui hasil daripada perjuangan menegakkan kalimah Allah.

2.  Dalam hubungan untuk menegakkan cita-cita murni ini maka beberapa tindakan perlu dibuat oleh mereka yang beriman, iaitu
    a.  menyertai jemaah Islam

         Islam tidak mungkin ditegakkan secara bersendirian. Kerja yang bersendirian akan membawa kepada kemusnahan. ini adalah suatu sunnah. Nabi Muhammad saw memiliki ribuan sahabat yang bersama dengannya dalam menegakkan kalimah Allah.

    b.  sifat jemaah Islam mestilah jemaah yang syumul

        Memilih jemaah Islam untuk disertai dalam usaha menegak kalimah Allah menjadi tanggungjawab orang Islam. Ini adalah sesuai dengan sifat Islam yang syumul. Jemaah Islam yang dipilih mestilah perjuangannya merangkumi menegakkan akhlak, jihad dalam pelbagai bentuk dan juga untuk menegakkan syariat Allah termasuk di dalamnya hukum hakam Allah, politik dan siasah, munakahat dan muamalat serta ibadah dan ketaatan kepada Allah.
     
Memilih jemaah yang bersifat khusus dalam satu bidang sahaja seperti
  • dakwah tanpa politik / siasah
  • mengajak orang menunaikan solat tanpa syariat hukum
  • gerakkan pembebasan wanita tanpa keadilan Allah
  • pertubahan berzanji dan berselawat tanpa jihad
  • pertubuhan bersifat bangsa (seperti bangsa melayu)
  • menegakkan politik bangsa melayu dengan menolak Islam
  • pertubuhan mempertahankan diri yang mengamalkan syirik
  • pertubuhan yang mengamalkan sekularisme, komunisme, freemason

akan menyebabkan orang yang beriman itu terjebak dalam konteks menolak Islam secara juz'iyy (berpisah-pisah) sehingga kadang-kadang terjebak dalam aktiviti syirik yang menduakan Allah.
  
3.  Usaha menegakkan kalimah Allah akan berhadapan dengan ujian yang banyak. Justeru dalam perjuangan ini ia didampingi dengan perkataan sabar. Al Maraghi dalam tafsirnya menyatakan makna sabar ialah menahan diri dalam hal yang tidak disukai. Hakikat ujian itu datangnya daripada Allah. sekiranya ujian yang menyenangkan hati, ini tidak akan menggugatkan apa-apa kedudukan contohnya memperolehi kesihatan yang baik, mendapat gaji yang lumayan, mendapat isteri yang solehah, mendapt anak yang soleh dan solehah, kemenangan dalam pilihanraya. Namum bagaimana orang yang beriman dapat mengurus keimanannya dengan ujian yang tidak disukainya seperti kematian suami / isteri yang disayangi, kehilangan barang yang disukai, kekalahan dalam pilihanraya. di sinilah datang ujian kesabaran itu dan meredhai segala qadar yang telah ditetapkan Allah.

4.  Allah akan menguji setiap daripada orang yang beriman bagi memantapkan daya kesabaran terhadap perjuangan. Sabar akan mendorong ikatan yang lebih mantap kepada Allah. Orang yang beriman mestilah memiliki daya sabar yang tinggi sehingga ikatannya dengan Allah adalah cemerlang. Hasil ikatan yang cemerlang ini akan memungkinkan pertolongan daripada Allah.

5.  Manifetasi daripada kesabaran yang tinggi ialah pengaduan yang berterusan kepada Allah iaitu mengikat diri dengan ibadah solat. Solat tahajjud, solat witir, solat hajat, solat tasbih adalah antara rangkaian solat yang didirikan oleh Rasulullah saw dalam membuat persiapan menghadapi perjuangan menegakkan kalimah Allah. tujuan solat ialah membebaskan manusia daripada sifat keluh keash dab gelisah. Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah Al Ma'arij ayat 19-22



Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut); - 
(Surah Al Ma'arij 19)


Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; 
(Surah al Ma'arij 20)
  

Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut; 
(Surah Al Ma'arij 21) 


Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang -
(Surah Al Ma'arij 22)


6.  Jaminan langsung daripada Allah terhadap mereka yang beriman dan memiliki sifat yang bersabar dan bersungguh dengan mengerjakan solat , Allah akan bersama dengan mereka dan sedia memberi pertolonganNya. justeru Rasulullah saw memberi amaran bahawa sifat tenang adalah daripada Allah mankala gelojoh adalah daripada syaitan. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud
" tenang adalah daripada Allah dan gelojoh adalah daripada syaitan "


KESIMPULAN

  1. Sumber pertolongan adalah datang daripada Allah. manusia yang berjaya berhadapan dengan ujian adalah manusia yang sentiasa terikat dalam hubungannya dengan Allah.
  2. Ia mengikatkan diri melalui doa munajat kepada Allah dan solat yang berterusan. Pengharapan terhadap limpah pertolongan daripada Allah adalah sangat tinggi.