Arahan 1: Orang Yang Beriman Mestilah Beradab Sopan Di Hadapan Nabi Pesuruh Allah

Posted by وان احمد ترمذي | Posted in | Posted on 24.3.10

Arahan  1: Surah Al Baqarah 104



Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: "raaina", (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah: "unzurna", dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah Al Baqarah 104





ASPEK PENGHAYATAN

  1. Bersopan dengan Nabi Muhammad saw. Perkataan ra'ina tidak patut dikatakan kepada Nabi/Rasul.
  2. Perkataan unzurna adalah penghayatan yang tepat kepada sifat nubuwwah.
  3. Bimbingan daripada Nabi/Rasul diikat oleh Allah dengan kepatuhan kepada perintah yang disampaikan.Orang yang beriman bukan sekadar mendengar malahan mestilah mematuhi bimbingan Nabi/Rasul.
  4. Orang yang kafir dan menentang Nabi/Rasul diancam dengan keazaban yang sangat pedih.


   
TAFSIRAN

1.  Ayat ini diturunkan khusus untuk mengingatkan orang-orang yang beriman untuk terus beradab sopan di hadapan Nabi dan Rasul mereka iaitu Nabi Muhammad saw. Secara perbandingan dengan umat yang terdahulu iaitu Bani Israel mereka langsung tidak ada adab dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul mereka
.
2.  Hamka dalam tafsir Al Azhar menyatakan bahawa perkataan ra'ina membawa makna yang buruk.Oleh yang demikian memilih perkataan yang baik di hadapan Nabi adalah suatu tuntutan.Membuat pengarahan kepada Nabi adalah dilarang. Apa lagi memaki Nabi dengan gelaran-gelaran yang membawa makna yang buruk seperti "Hai orang yang bodoh tunggu sebentar".Malahan bertanya kepada Nabi dan Rasul sehingga menyebabkan kesukaran kepada Nabi dan Rasul juga termasuk dalam aspek ra'ina.

3.  Inilah yang berlaku kepada Bani Israel yang bertanyakan hal penyembelihan sapi betina sehingga Nabi Musa as berlindung dengan perbuatan mereka yang jahil itu. Dalam konteks hari ini walaupun Nabi/Rasul sudah tiada,namun perkataan ra'ina tidak boleh disebut oleh mereka yang beriman seperti "tidak patut hukum itu begini dan begitu".Ini menyerupai perbuatan Bani Israel terhadap Nabi/Rasul mereka.

4.  Dalam konteks orang yang beriman perkataan unzurna adalah tepat ketika berhadapan dengan Nabi kerana hanya bimbingan Nabi/Rasul,manusia akan selamat. Hanya Nabi/Rasul yang mengetahui apa yang dikehendaki oleh Allah untuk dilaksanakan oleh manusia.Manusia tanpa bimbingan kerasulan akan menemui kesesatan yang berpanjangan.

5.  Golongan para sahabat Nabi,Saidina Abu Bakar,Saidina Umar,Saidina Usman,Saidina Ali,Saidina Bilal,Ibnu Mas'ud dan seluruh sahabat nabi adalah contoh yang tepat sehingga menerima bimbingan langsung daripada Nabi Muhammad saw. Ada di antara kalangan yang dibimbing itu pula dijamin Nabi Muhammad saw dengan jaminan syurga seperti sahabat Nabi Muhammad saw yang sepuluh, antaranya
  • Saidina Abu Bakar / Saidina Umar
  • Saidina Usman / Saidina Ali
  • Saidina Abd Rahman Auf / Saidina Muawiyah
6.   Ahmad Mustafa dalam Tafsir Al-Maraghi membuat pembandingan ra'ina bahawa perkataan ini membawa kehinaan kepada mereka yang menentang Nabi. Al-Maraghi memetik ayat daripada surah Al Mu'minun ayat 68-69



Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada mereka)? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu? (Surah Al Mu'minun 68)


Atau kerana mereka tidak kenal rasul mereka, lalu mereka mengingkarinya?  (Surah Al Mu'minun 69)

7.  Budaya orang yang beriman itu bukan sahaja bersopan santun di hadapan Rasul mereka tetapi sopan santun itu diikat dengan budaya mematuhi bimbingan yang diberikan. Keseluruhan amalan dalam kehidupan yang dibimbing Rasul adalah benar dan datangnya daripada Allah. Rasul tidak melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu. Malahan kesemuanya dibuat bersandarkan wahyu Ilahi. Demikian disentuh Allah dalam Surah An Najm ayat 3-4


Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.  (Surah An Najm 3)

  
Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.   (Surah An Najm 4)


8.  Para sahabat Nabi Muhammad saw melihat dan bersama Nabi mereka, namun orang beriman masa kini mestilah mempunyai budaya mendengar bimbingan daripada Al Quran dan hadis Nabi Muhammad saw dan mematuhi secara total. Hakikat keimanan masa kini sangat tergantung kepada kepatuhan terhadap bimbingan daripada Al Quran dan Sunnah.

9.  Orang kafir yang menentang risalah kenabian akan diazab oleh Allah dengan azab yang pedih. Dikurnia dengan sifat keresahan dan kegelisahan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat akan ditimpa pula dengan azab yang pedih dengan dimasukkan ke dalam neraka Allah. Tiada ganjaran sama sekali kepada golongan ini. Kemahuan hidupnya di dunia dipenuhi Allah tetapi untuk kehidupan yang abadi di akhirat disediakan Allah dengan keazaban yang menghinakan.


KESIMPULAN

  1. Budaya orang yang beriman adalah bersopan santun dengan Nabi Muhammad saw.
  2. Sopan santun dan mematuhi ajaran kerasulan adalah lambang keimanan.
  3. Kepatuhan kepada ajaran Islam mestilah bersifat total dan tidak memilih mana yang hendak dilaksanakan. Mengikut bimbingan Nabi secara menyeluruh. Ianya terkandung apa yang dibawa Nabi samada dalam kitab Al Quran dan Sunnah.
  4. Pujuklah hati anda wahai orang yang beriman hanya mahu hati ini mengikut ajaran Nabi Muhammad saw. Hakikat bimbingan yang benar itu adalah datang daripada pembawa hakikat keagamaan iaitu Nabi Muhammad saw. Lihatlah bai'ah para sahabat dengan Nabi Muhammad saw. Sudahkah kita berbai'ah seperti mereka?